Sumber: Harian Metro
Johor Bahru: Tiada apa mampu diucapkan pemain tengah Amirulhadi
Zainal sebaliknya wajah kelegaan terpancar sekali gus memberi sinar
kepada pemain itu untuk mempamerkan aksi terbaik bersama Johor Darul
Takzim (Johor DT) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang menyingkap
tirai 18 Januari ini.
Keputusan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Jumaat lalu, berhubung isu pemain berusia 27 tahun itu didapati
menandatangani dua kontrak bersama Johor DT dan Pahang sudah diputuskan
apabila sekadar denda RM25,000 dikenakan manakala kontrak bersama Johor
DT adalah sah sudah cukup memberi nafas baru buat pemain yang sinonim
dengan panggilan ‘Yol’ itu.
“Keputusan sudah dibuat oleh FAM dan saya tidak boleh buat apa-apa dengan denda yang dikenakan. Apa pun kontrak saya bersama Johor DT adalah sah sudah cukup melegakan dan ia memberi nafas baru buat saya untuk memberi komitmen tinggi kepada pasukan baru dalam usaha memburu satu piala.
“Apa pun saya perlu bekerja keras untuk memastikan tempat dalam
kesebelasan utama dan kehadiran pemain berkualiti dalam skuad Johor DT
memberi gambaran betapa disiplin dan persembahan terbaik sepanjang
latihan bakal beri ruang untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Saya tetap optimis dengan barisan pemain sedia ada, Johor DT mampu membawa pulang satu piala kerana sasaran utama adalah layak ke saingan Piala AFC 2015,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan Johor DT menentang kelab Liga Singapura (Liga S), Hougang United yang menyaksikan skuad Harimau Selatan menang 3-0 di Stadium Larkin, kelmarin.
Johor DT bimbingan Cesar Ferrando Jiminez baru mengharungi dua aksi persahabatan kompetitif tatkala aksi pertama sebelum ini mudah mengatasi Tampines Rovers FC 7-1 pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang dan kemenangan ke atas Hougang United memberi impak positif dalam usaha mencari kesebelasan terbaik mengharungi kempen Liga Malaysia.
Kelibat Amirulhadi yang beraksi pada babak kedua jelas tidak
mengecewakan apabila sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan
menerusi larian pantas di sayap kanan malah dia tidak kekok untuk
mengadaptasi corak permainan yang diterapkan Jiminez biarpun baru dua
minggu bersama skuad itu.
“Memang ada perbezaan dari segi taktikal tapi saya tidak menghadapi masalah untuk menjiwai corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih malah persefahaman antara pemain juga tidak menimbulkan kesukaran kepada saya memandangkan pernah beraksi bersama beberapa pemain.
“Paling utama saya tidak kekok apabila beraksi di padang kerana
saya pernah beraksi bersama Safiq Rahim, Mahali Jasuli, Amri Yahyah dan
Norshahrul Idlan Talaha dan ia membentuk kombinasi dan persefahaman yang
mantap bagi mengharungi kempen Liga M nanti,” kata Amirulhadi.
No comments:
Post a Comment