Sumber: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Hari ini merupakan detik terakhir
yang bakal memahat 1001 nostalgia dalam arena sukan negara mahupun
antarabangsa apabila tahun 2013 bakal berlalu pergi sementara tirai 2014
sedang mengintai masuk dalam tempoh beberapa jam lagi.
Turut menerima tempias adalah kontrak Datuk K. Rajagobal selaku
jurulatih Harimau Malaya akan tamat secara rasminya setelah Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berhasrat menyambung khidmatnya, manakala
esok pula, bermulalah langkah baharu jurulatih sementara skuad
kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk menggalas tanggungjawab sukan No. 1
dunia itu.
Menurut Kim Swee, yang juga pengendali skuad Harimau Muda A, segala
perancangan kini berada di dalam genggamannya bagi mengatur corak
permainan di samping berkemungkinan besar merombak jentera Harimau
Malaya selepas melihat ada di antara pemain yang selama ini telah
dinafikan bakatnya.
Pastinya, beliau membuat pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa
mereka sepanjang kempen Liga Malaysia, malah harapan peminat bola sepak
tanah air untuk melihat beberapa bintang liga tempatan mendapat tempat
dalam skuad kebangsaan dan menyarung jersi Malaysia mampu menjadi
kenyataan.
Bagaimanapun, Kim Swee enggan menyebut siapa pemain yang bakal
membarisi skuad Harimau Malaya bimbingannya kelak, tetapi mengakui
prestasi semasa mereka antara kriteria utama yang akan menjadi sandaran
dalam membentuk pasukan, yang masih mempunyai peluang tipis untuk
melayakkan diri ke Piala Asia 2015.
"Buat masa ini, saya mahu tunggu kempen liga Malaysia bermula sebelum
saya memutuskan siapa yang akan dipilih. Sudah tentu ada bakat-bakat
terpendam yang harus kita gilap.
"Tidak semestinya pemain-pemain yang sedia ada akan dikekalkan.
Mereka harus merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam setiap kelab
yang mereka wakili dan semestinya, prestasi semasa menjadi tanda aras
pemilihan.
"Kemungkinan besar ada perubahan. Sebab ada sedikit bayangan, tetapi
yang pastinya saya mahu menilai prestasi mereka dalam dua atau tiga
perlawanan liga dahulu, dari situ saya akan dapat gambaran penuh,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Bintang tengah Kelantan yang muncul Pemain Paling Bernilai 2013,
Mohd. Badri Radzi antara pemain yang dijangka menjadi anggota baharu
skuad kebangsaan.
Harimau Malaya yang mengumpul empat mata kini menduduki tangga ketiga
dalam Kumpulan D dan dijadualkan bertemu Yaman di tempat lawan dalam
saingan kelayakan Piala Asia AFC 2015 pada 5 Mac akan datang.
Mengulas lanjut mengenai tarikh bagi Harimau Malaya memulakan sesi
latihan, pengendali kelahiran Melaka itu memberitahu, mereka akan
bertemu pada penghujung bulan Februari nanti memandangkan perlu akur
kepada jadual perlawanan domestik.
"Sebab kita ada liga dan ada jadual untuk pasukan kebangsaan bersiap
sedia sebelum perlawanan kelayakan itu nanti. Berkemungkinan 20 Februari
tahun depan kita sudah boleh mengadakan sesi latihan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment