Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Bunyamin Omar menjadi pilihan
pengurus dan jurulatih Selangor Mehmet Durakovic untuk mengetuai cabaran
Merah Kuning musim depan.
Pemain berusia 25 tahun itu mula menyertai Merah Kuning sejak 2009
akan menggalas tugas ditinggalkan seorang lagi pemain pertahanan
Asraruddin Putra Omar yang menyertai Johor Darul Takzim musim depan.
“Nama Bunyamin dicadangkan Durakovic selepas melihat aksi pemain itu dalam siri persahabatan di Australia baru-baru ini. Selain mempunyai sikap kepimpinan, dia turut memainkan peranan dalam membantu jurulatih dalam memantapkan pasukan.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan pemilihan ini kerana memberi
kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk menentukannya,” kata Setiausaha
Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Mohd Ibrahim.
Pemain kelahiran Kedah itu pemain paling senior dalam senarai skuad Merah Kuning tahun depan dan berkemampuan untuk beraksi di tiga posisi iaitu pemain tengah bertahan, pertahanan tengah dan kanan.
Selangor yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan musim depan kehilangan beberapa tonggak utama seperti Asraruddin, Amri Yahyah dan Francis Forkey Doe namun tetap tampil mencabar apabila menyenaraikan beberapa pemain ternama seperti Farizal Marlias, Azmi Muslim, Rizal Fahmi Ab Rosib, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri selain mengekalkan K Gurusamy, S Kunanlan dan Raimi Md Noor.
Selain mengharungi kancah Liga Malaysia, Selangor yang turut
beraksi dalam saingan Piala AFC tahun depan sudah mengikat empat pemain
import iaitu Paulo Rangel, Junior Aparecido Guimaro de Souza, Stilianos
Pantelidis selain pemain sayap Indonesia Andik Vermansyah.
Selangor akan meneruskan persiapan apabila menentang Tentera pada satu aksi persahabatan esok.
No comments:
Post a Comment