Sumber: Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) menangguhkan ke 7 Januari depan untuk membuat keputusan mengenai
tujuh pemain Kuala Lumpur yang dituduh terlibat mengatur keputusan
perlawanan Liga Perdana 2013.
Pengerusinya, Datuk Taufek Razak berkata, keputusan tidak dapat
dibuat semalam bagi berlaku adil kepada semua pihak selepas jawatankuasa
hanya sempat memanggil dua daripada mereka, Azizon Abdul Kadir dan
Benedict Martin untuk memberikan keterangan dan membela diri.
Ada lima lagi pemain (tidak sempat dipanggil walaupun hadir di
Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam). Kami memutuskan untuk memanggil baki
mereka untuk dua kali lagi mesyuarat jawatankuasa dengan menangguhkannya
ke 3 dan 7 Januari.
Pendengaran 3 Januari akan melibatkan Syazwan Mohamed Rani, Mugilan
Kartik Jaya Gobi dan Muhammad Azwan Jatin manakala 7 Januari bagi
Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.
Jawatankuasa tidak dapat menyudahkan prosiding sebab banyak soal
jawab dikemukakan dan kes ini dianggap serius jadi kami perlu memberi
satu perbicaraan yang benar-benar terbuka dan adil kepada pihak yang
kena tuduh dalam mempertahankan (diri) mereka terhadap dakwaan yang
dikemukakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat selama empat
jam.
Ditanya kemungkinan hukuman yang menanti jika mereka didapati
bersalah pada 7 Januari ini, katanya: Hukuman maksimum digantung seumur
hidup dan denda RM50,000 tetapi buat masa ini, (hukuman) pemain rendah
sikit, minimumnya lima tahun berbanding pegawai, 10 tahun.
Namun ada peruntukan hukuman dalam peraturan jawatankuasa tentang
kes mengatur keputusan perlawanan atau rasuah yang membenarkan
penggantungan seumur hidup dan tidak diberikan peluang merayu."
Menurut Taufek, boleh dikatakan kesemua 22 perlawanan Liga Perdana
Kuala Lumpur musim 2013 mempunyai kaitan dengan tuduhan mengatur
keputusan perlawanan dan kes mereka mulai disiasat sejak kekalahan
pasukan itu 5-0 kepada Sime Darby atas daya usaha pihaknya.
Bila hujung terlerai, maka yang pangkal juga akan terlerai. (Dalam
kes ini) tertuduh mewakili diri sendiri, namun dalam Perkara 16.3 Kod
Tatatertib FAM 2012, mereka boleh diwakili Setiausaha Kerja, Agung atau
Kehormat persatuan bola sepak negeri atau kelab tetapi peguam tidak
dibenarkan langsung.
Jika tertuduh didapati bersalah tetapi sudah menandatangani
bermain dengan pasukan lain, pasukan itu masih dibenarkan
menggantikannya dengan pemain lain," ujarnya.
Minggu lalu, jawatankuasa ini mengenakan hukuman penggantungan
seumur hidup dan denda RM20,000 setiap seorang ke atas lima pemain (Phoo
Kai Lun, Jeremy Danker, Hafizi Roslee, Khairul Anuar Shafie dan
Fadhlullah Yunsifar); jurulatih pasukan dari Slovakia, Stanislav
Lieskovsky dan dua pegawai, Rosli Omar dan Shaari Jani.
No comments:
Post a Comment