Sumber: Utusan Malaysia
NAY PYI TAW - Harimau Muda membuktikan status
mereka sebagai juara bertahan Sukan SEA apabila mencalar keegoan Vietnam
dengan kemenangan 2-1 di Stadium Zeyar Thiri pada aksi terakhir
Kumpulan A, sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Kemenangan berharga itu jelas tidak dicapai dengan mudah, apabila
terpaksa bermandi keringat sepanjang 80 minit menahan asakan menggila
Vietnam sebelum jaringan pemain sayap kiri, Ashri Chucu pada minit ke-82
berjaya membunuh api perjuangan lawan.
D. Saarvindran menggandakan kelebihan buat pasukan negara pada minit
ke-89 dan Vietnam yang tidak berputus asa akhirnya mendapatkan gol sagu
hati pada minit ke-93 melalui Mac Hong Quan namun jaringan itu sudah
tidak memberikan sebarang makna.
Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee, yang muncul juara kumpulan dengan
10 mata akan berdepan musuh tradisi dan naib juara Kumpulan B, Indonesia
esok. Ini adalah ulangan final Sukan SEA 2011.
Satu lagi separuh akhir pula menemukan juara Kumpulan A, Thailand dengan Singapura.
Penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi wajar diangkat sebagai pemain
terbaik perlawanan selepas berulang kali menyelamatkan percubaan
berbahaya Vietnam, terutama menerusi Nguyen Van Quyet dan Le Van Thang.
Pasukan negara jelas menggunakan taktik serangan balas bagi
mendapatkan gol dengan Vietnam yang terdesak bagi mencari kemenangan
melancarkan serangan sejak awal perlawanan, namun kekentalan barisan
pertahanan diketuai Mohd. Fadhli Shas wajar dipuji.
Sejak wisel permulaan ditiupkan, pemain negara terpaksa lebih kerap
bertahan di kandang sendiri dan berhempas pulas memastikan gawang tidak
dibocori selepas Vietnam bertali arus melancarkan serangan.
Masuk ke minit ke-65, para pemain Vietnam seperti sudah keletihan
apabila banyak serangan mereka mampu dipatahkan dan kehadiran Mohd.
Nazmi Faiz yang masuk selaku pemain gantian mengubah segalanya.
Hasil serangan balas, Nazmi membuka ruang kepada Saarvindran yang
berjaya melakukan satu hantaran silang menarik yang pada mulanya mahu
dituju kepada A. Thamil Arasu namun bola itu hadir tepat kepada Ashri.
Pemain yang berasal dari Sarawak itu tidak mensia-siakan kesempatan
terhidang dengan melepaskan rembatan leret yang membuatkan Buu Ngoc
tidak mampu berbuat apa-apa, gol itu ternyata memberi satu kelegaan
kepada Harimau Muda.
Ruang yang kosong di bahagian pertahanan ekoran Vietnam yang terdesak
mendapatkan dua gol membuka peluang kepada Saarvindran yang penuh
bergaya memperdayakan pertahanan Vietnam, sebelum tenang meletakkan
Malaysia dengan gol kedua, satu minit sebelum perlawanan memasuki masa
kecederaan.
Izham yang ditemui selepas perlawanan, mengakui dia sudah menjangka
Vietnam akan menjadi lawan yang sukar tetapi dia bersyukur kerana dapat
menampilkan salah satu aksi terbaiknya di Sukan SEA pada kali ini.
''Walaupun Vietnam mengasak kami sepanjang perlawanan, saya tetap
berasa tenang dan tidak takut, memang gembira kerana membantu pasukan
layak ke separuh akhir.
''Semua pemain mengikut apa yang direncanakan jurulatih dan kami memang layak untuk menang dalam perlawanan ini.
''Satu cabaran buat kami kerana terpaksa melalui perlawanan demi
perlawanan hanya selang satu hari, penat memang penat namun misi
mempertahankan pingat emas paling penting buat kami, " katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment