Thursday, December 12, 2013

Jangan cepat melatah

Sumber: Utusan 
 
NAY PYI TAW - Jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman buat pasukan Harimau Muda apabila memulakan kempen Kumpulan A dengan aksi goyah walaupun menang 2-0 ke atas Brunei di Stadium Zeyyar Thiri, kelmarin.

Bagi jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, amat tidak adil untuk terus mengatakan peluang buat pasukan negara untuk mempertahankan ibu kepada segala pingat emas seakan-akan sudah tertutup sedangkan mereka baru melalui satu perlawanan.

Jelas Kim Swee, dia tidak akan melayan segala kritikan-kritikan negatif yang dilemparkan terhadap skuadnya kerana tahu potensi sebenar yang ada pada anak-anak buahnya.

 
"Jangan hanya kerana kami gagal beraksi dengan baik semasa menentang Brunei, sudah ada pihak menilai kami tidak mampu pergi jauh pada Sukan SEA kali ini.

"Ini baru aksi pertama kami di sini, tunggu selepas kami melalui beberapa perlawanan lain, barulah sesuai untuk membuat perbandingan.

"Apa jua cakap-cakap sumbang terhadap pasukan ini, saya tidak ambil peduli dan sebagai jurulatih, saya tidak akan lari jika pasukan ini tidak mampu pergi jauh, namun saya percaya pasukan ini akan bangkit pada perlawanan seterusnya.

''Daripada riak wajah mereka selepas perlawanan, saya tahu mereka memang tidak gembira dengan keputusan dan percayalah apa yang terjadi pada perlawanan lalu akan meningkatkan moral mereka untuk memperbaiki kelemahan mereka," katanya.

Selepas melihat Vietnam membelasah Brunei 7-0 pada perlawanan pertama, ramai menjangkakan pasukan negara mampu meraih kemenangan dengan jaringan yang besar.

Namun, anak-anak buah Kim Swee hanya sekadar menang dengan keputusan 2-0 melalui jaringan Mohd. Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-30 dan Ashri Chuchu pada minit ke-70.

Brunei berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan negara apabila mendapat tiga peluang terbuka menjaringkan gol cuma dihampakan penyudah yang tumpul daripada Muhd. Azwan AliRahman.

Dalam masa sama, Kim Swee mengakui persaingan Kumpulan A cukup terbuka memandangkan Singapura baru sahaja menewaskan Vietnam dengan keputusan 1-0.

"Kualiti sesama pasukan di benua Asia Tenggara sebenarnya semakin sama rata dan sesiapa sahaja boleh menang dalam mana-mana perlawanan.

"Siapa boleh sangka Laos mampu mengikat Singapura dan kemudian Singapura pula mengalahkan Vietnam, jadi persaingan Kumpulan A memang sukar diramal.

"Kita wajib meraih tiga mata menentang Laos dalam perlawanan kedua jika mahu mencerahkan laluan ke separuh akhir," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...