Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup berminat untuk
mendapatkan khidmat bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier apabila
dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali dari Perancis
itu di China, Julai lalu.
Menurut sumber, seorang wakil FAM dihantar untuk mengadakan
perbincangan dengan Troussier, 58, dan hasil daripada pertemuan itu
memberikan petanda positif buat FAM dalam usaha mencari pengganti ketua
jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang akan berundur selepas
kontraknya berakhir 31 Disember ini.
“Troussier sememangnya calon pilihan FAM ketika ini, mungkin perbincangan mereka kini lebih kepada soal gaji dan kontrak,” kata sumber itu yang kebetulan berada di China ketika perbincangan itu diadakan.
Selepas prestasi hambar dipamerkan Harimau Malaya sepanjang tahun
ini termasuk gagal merebut salah satu daripada dua slot automatik
daripada Kumpulan D pada kempen kelayakan Piala Asia 2015, FAM membuat
keputusan tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang sudah berkhidmat
lebih empat tahun.
Tambahan Troussier pula tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas baru saja tamat kontrak dengan kelab China, Shenzhen Ruby.
Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai perkembangan itu enggan memberi sebarang penjelasan.
“Saya tidak tahu jika ada wakil kami ke China untuk berunding
dengan Troussier. Buat masa ini, saya tidak katakan beliau semakin
hampir untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya. FAM masih lagi dalam
proses memilih jurulatih dan sebarang perkembangan akan diumumkan
selepas ini,” katanya.
Badan induk bola sepak tanah air itu juga sebelum ini tanpa berselindung sudah menyatakan keinginan untuk mencari jurulatih baru dan mengesahkan menerima lebih 30 permohonan dari dalam dan luar negara.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Troussier akan ditawarkan
pendapatan lumayan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) dari FAM
jika bersetuju membimbing Harimau Malaya.
Bagaimanapun kerusi panas itu turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic, bekas penolong jurulatih kelab Liverpool, Alex Miller dan legenda bola sepak Jerman, Rudi Voller dan jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee.
Buat masa ini, FAM hanya melantik Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas kontrak Rajagobal berakhir dan bakal mengumumkan pengganti dalam masa sekurang-kurangnya dua bulan lagi.
No comments:
Post a Comment