Wednesday, December 4, 2013

Shakir tekad rebut tempat

Sumber: Harian Metro
 
Kota Bharu: Penyerang baru Kelantan, Ahmad Shakir Ali mengakui sukar mendapat tempat di posisi serangan namun bertekad untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memantapkan The Red Warriors (TRW) dalam saingan musim 2014.

Kelantan yang membariskan beberapa penyerang berbisa termasuk penyerang import seperti Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe nyata memberi laluan sukar bagi pemain tempatan untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama.


Ahmad Shakir, 24, berkata, peluang beraksi bersama TRW akan digunakan sebaik mungkin, malah bekas pemain Ngeri Sembilan itu tidak menafikan hasrat untuk melonjakkan namanya kembali selepas tersisih akibat dibelenggu kecederaan musim lalu.


Katanya, sebagai pemain baru dalam pasukan gergasi Pantai Timur itu, Ahmad Shakir berharap dapat menimba pengalaman dengan pemain senior seperti kapten Mohd Badhri Radzi atau Piya sekali gus mendapatkan keserasian dalam masa terdekat.

“Pasukan ini memiliki ramai penyerang hebat termasuk pemain import yang boleh menjaringkan gol dan saya tahu keadaan ini amat mencabar. Namun saya bersyukur kerana berpeluang dapat bermain dengan pasukan sehebat Kelantan.

“Kecederaan yang dialami beransur pulih dan saya tekad untuk mencapai sasaran peribadi ketika bersama pasukan ini,” katanya semalam.

Menyedari harapan tinggi peminat TRW terhadapnya, Ahmad Shakir berkata, mental yang kuat diperlukan selain mempamerkan aksi terbaik bagi memenangi hati penyokong TRW.

“Bagi pemain baru, harapan penyokong adalah satu cabaran bagi saya dan saya berharap pemain senior dapat membantu saya meningkatkan prestasi ketika bersama TRW.

“Corak permainan Kelantan juga mungkin berbeza dengan pasukan lama tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri. Saya perlu memperkuatkan mental saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...