Sumber: Harian Metro
Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi berazam untuk tampil
sebagai pemain bola sepak yang menutup aurat selepas pulang daripada
mengerjakan umrah bulan lalu.
Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, sebelum ini
dia pernah beraksi tanpa mendedahkan aurat namun ia hanya seketika,
tetapi selepas pulang daripada mengerjakan umrah November lalu, dia
nekad untuk beraksi dengan memenuhi tuntutan agama.
Katanya, selain memenuhi tuntutan agama, pemain yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) tahun ini turut menyifatkan azamnya sesuai dengan kempen menutup aurat yang dilancarkan di Kelantan.
“Sebelum ini saya pernah mencuba untuk menutup aurat ketika
bermain bola sepak, namun usaha itu tidak berterusan. Bagaimanapun
selepas pulang daripada mengerjakan umrah, niat untuk menutup aurat
ketika bermain bola semakin menebal dan saya nekad untuk meneruskannya.
“Saya akan menguatkan iman supaya bermain bola dalam keadaan menutup aurat sama ada ketika perlawanan di tempat sendiri atau di tempat lawan termasuk juga ketika sesi latihan,” katanya semalam.
Sebelum ini pemain FELDA United, Indra Putra Mahayuddin yang sentiasa dilihat beraksi tanpa mendedahkan aurat sama ada ketika perlawanan ataupun latihan sewaktu bersama The Red Warriors (TRW) dan kini tindakan itu turut disusuli Piya.
Mohd Badhri berkata, tiada halangan bagi seorang ahli sukan Muslim
untuk berjaya sekiranya tampil dengan menutup aurat, malah menyifatkan
kejayaan akan lebih diberkati Allah apabila berjaya memenuhi tuntutan
agama.
“Tiada masalah untuk mengekalkan prestasi sekiranya tampil dengan menutup aurat. Saya yakin Allah akan lebih memberkati usaha kita untuk mencapai kejayaan,” katanya yang juga mengharapkan TRW dapat menjulang sekurang-kurangnya satu trofi untuk musim Liga Malaysia 2014.
No comments:
Post a Comment