Sunday, December 29, 2013

‘Nak pikat Darby’

Sumber: Harian Metro

Foto

Kota Bharu: Sebaik kecederaan yang dialaminya pulih, hanya satu yang ada di dalam fikiran pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim iaitu mahu menambat hati ketua jurulatih Steve Darby  bagi memastikan namanya berada di dalam kesebelasan utama untuk musim 2014 nanti.

Nik Shahrul Azim atau lebih dikenali sebagai 'Poknik', mengalami kecederaan lutut ketika membantu Harimau Muda menjulang Pesta Bola Merdeka September lalu sekali gus menyaksikan dia turut terlepas peluang menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee di temasya Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.



Bagaimanapun, Nik Shahrul berkata, kecederaan yang dialaminya sudah beransur pulih dan sudah menjalani latihan lebih lasak sekali gus membuatkan pemain berusia 22 tahun dari Rantau Panjang, Kelantan itu tekad mahu berusaha keras memikat pengendali baru TRW itu.

Katanya, selepas berlaku rombakan besar dalam senarai pemain TRW bagi saingan musim depan, terdapat saingan untuk merebut tempat terutama di posisi pertahanan.

“Sekarang TRW dibimbing jurulatih baru dan saya perlu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama. Saya lega kecederaan semakin pulih dan saya yakin dapat beraksi sebaik musim bermula.

“Untuk musim depan, TRW ada ramai pemain baru dan mereka semuanya berpengalaman malah keadaan ini mungkin memberi sedikit saingan. Tapi saingan ini bagus untuk pasukan kerana semua pemain akan lebih bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang MARDI, Pasir Tumboh di sini, baru-baru ini.

Ternyata kekecewaan Nik Shahrul yang terlepas peluang menyarung jersi kebangsaan pada temasya Sukan SEA tidak mematahkan semangatnya untuk terus meningkatkan prestasi bersama skuad TRW.


Sementara itu, Darby berkata, Nik Shahrul sudah kembali pulih dan mampu menjalani latihan lasak selain mempercayai kebolehan pemain muda itu untuk beraksi mantap di bahagian pertahanan.

Katanya, sebagai pemain muda yang mempunyai pengalaman beraksi di dalam pasukan kebangsaan, Nik Shahrul perlu menunjukkan kesungguhan selepas pulih daripada kecederaan sekali gus mengekalkan prestasi cemerlangnya seperti musim lalu.


“Nik Shahrul pemain muda yang bagus dan kita perlukan pemain sepertinya. Saya lega dia sudah pulih dan dapat menjalani latihan bersama rakan sepasukan.


“Dia (Nik Shahrul) mempunyai pengalaman bermain dengan pasukan negara dan itu membuatkan saya lebih senang untuk memberi arahan dan tunjuk ajar bagi meningkatkan prestasinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...