DI sebalik tindakan jawatankuasa tertinggi T-Team yang merehatkan ketua jurulatihnya, Yunus Alif daripada membimbing pasukan berkenaan, ada nada kecewa yang disuarakan bekas pemain kebangsaan itu.
Menurut Yunus, keputusan pihak pengurusan sungguh mengejutkan, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang mengaibkan kewibawaannya sebagai seorang jurulatih.
Lebih daripada itu, Yunus yang baru dilantik menggantikan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor untuk membimbing T-Team pada awal musim ini membayangkan seperti wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.
"Memang saya tidak tahu mengapa keputusan ini dibuat kerana saya memang tidak ada masalah dengan pemain-pemain dalam pasukan ini.
"Saya tidak menafikan prestasi pasukan memang merosot tetapi bukan mudah untuk membentuk sebuah pasukan hanya dalam beberapa bulan," katanya.
Ekoran daripada keputusan itu, tempat Yunus sebagai jurulatih T-Team kini diambil alih buat sementara oleh bekas jurulatih pasukan itu, Che Ku Marzuki dan dibantu jurulatih Piala Presiden, Yusuf Ali.
Pengesahan untuk merehatkan Yunus serta melantik dua jurulatih sementara untuk mengendalikan T-Team diumumkan oleh pengurus pasukan, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu kelmarin.
Ketika mengumumkan perkara itu, Rozi menjelaskan, tindakan merehatkan Yunus buat sementara adalah hasil persetujuan dan perbincangan semua pihak selepas melihat prestasi tidak menentu yang dicatat pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, Yunus menambah, kontraknya sebagai jurulatih T-Team hanya akan berakhir pada November depan.
"Saya tidak tahu apa akan berlaku sele-pas ini dan saya menunggu perkembangan terbaru daripada pihak pengurusan," jelasnya yang mula menjadi jurulatih profesional pada tahun 1992.
No comments:
Post a Comment