KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menyembunyikan rasa geram selepas anak buahnya gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dan hanya mampu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, kelmarin.
Menurut Dollah, sepatutnya Pahang mampu meraih tiga mata berharga selepas lawan beraksi dengan 10 orang apabila Hairuddin Omar dilayang kad merah pada minit ke-27.
Namun, peluang dimiliki gagal digunakan dan pemainnya seolah-olah tidak bersemangat menjaringkan gol.
“Nasib baik, jaringan Famirul Asraf memberi satu mata walaupun kami sepatutnya menewaskan Negeri Sembilan.
“Saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku kerana mereka tidak dapat mengawal permainan selepas lawan hilang seorang pemain,” katanya.
Dollah berkata, segala-galanya sudah dilakukan untuk meningkatkan semangat pemain terutama dalam sesi latihan harian tapi mereka tetap gagal menunaikan tanggungjawab ketika perlawanan sebenar.
Menurutnya, jika perkara itu tidak dapat ditangani segera, impian pengurusan mengejar pasukan di kedudukan teratas pasti hanya tinggal impian.
No comments:
Post a Comment