Sunday, April 24, 2011

Wan Jamak sasar Kedah juara

WAN JAMAK (tengah) menerima surat pelantikan daripada Dr. Hamdan di Alor Setar semalam.

SIFU baru skuad Hijau Kuning, Wan Jamak Wan Hassan menetapkan sasaran peribadi untuk membantu Kedah muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Negeri Sembilan itu mengakui berdepan tugas berat untuk memastikan skuad Hijau Kuning berada di landasan yang tepat selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahmad Yusoff pada pertengahan musim ini.
Wan Jamak memberitahu, beliau sudah bersedia memikul tanggungjawab itu dengan mendapat bantuan semua pihak di sebalik harapan tinggi yang disandarkan peminat dan majikan barunya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Jelasnya, menerusi dua sasaran besar itu menjadikan pasukan akan lebih fokus bagi mencapai keputusan yang terbaik apabila musim ini berakhir.
“Sekiranya kita sasar yang terbaik, kita mungkin dapat mencapai keputusan yang baik. Saya akan bekerjasama dengan semua pihak khususnya penolong jurulatih dan para pemain untuk cuba mempertingkatkan lagi prestasi pasukan Kedah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan beliau dan menandatangani kontrak bersama skuad Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.
Turut hadir Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib; pengurus pasukan, Datuk Khazali Din, ahli jawatankuasa eksekutif KFA; penolong-penolong jurulatih dan para pemain pasukan bola sepak Kedah.
Ujar Wan Jamak, pada mulanya beliau bercadang untuk berehat sehingga penghujung musim ini, namun mengakui tidak boleh 'duduk diam' kerana bola sepak sudah menjadi darah dagingnya.
Setelah mendapat tawaran daripada KFA, katanya, beliau memilih untuk menerima jawatan berkenaan kerana melihat Hijau Kuning mempunyai ramai pemain muda yang berpontensi dan berbakat.
“Saya juga melihat Kedah dibarisi ramai pemain anak negeri ini sekali gus menjadikan sikap kekitaan atau kenegerian begitu tinggi.
“Ini menjanjikan komitmen daripada para pemain untuk memberikan yang terbaik bagi melonjakkan nama Kedah,” katanya yang akan mengendalikan sepenuhnya skuad Sang Kenari mulai Khamis ini.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, selepas menyaring beberapa nama, KFA melihat Wan Jamak sebagai calon terbaik mengisi jawatan jurulatih berikutan prestasinya yang cemerlang ketika membimbing Negeri Sembilan.
Katanya, di sebalik peletakan jawatan Wan Jamak sebagai jurulatih skuad Hoben Jang Hoben, KFA menyedari dia memiliki reputasi memberangsangkan apabila membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA di bawah kendaliannya.
“KFA menetapkan sasaran Kedah berada pada kedudukan ketiga terbaik Liga Super dan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan pelantikan Wan Jamak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...