Thursday, April 28, 2011

Krecska optimis julang semula Singa Utara




KUALA LUMPUR – Bakal jurulatih Perlis, Janos Krecska mengakui bukan tugas mudah untuk membawa skuad Singa Utara bangkit dalam saingan Liga Super tetapi optimis mampu melakukannya.

Menurutnya, antara masalah utama yang dapat dilihat selepas menyaksikan perlawanan antara Perlis dan Pahang kelmarin ialah kebanyakan pemain mudah hilang keyakinan dan ia perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Bagaimanapun kita tidak boleh hanya memikirkan tentang masalah yang dihadapi pada jangka masa pendek, saya juga melihat mengenai jangka masa panjang bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, semua bahagian dalam skuad Perlis baik serangan, tengah dan pertahanan mempunyai kelemahan tersendiri, banyak yang perlu dibaiki jika mahu melihat juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 bangkit.

Perlis mencatat kekalahan ke-10 kelmarin selepas tewas kepada Pahang 1-2 di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Setakat ini Perlis hanya mencatat satu kemenangan daripada 15 perlawanan Liga Super.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai pasukan Perlis, kerana belum menandatangani kontrak sejak tiba Isnin lalu, mungkin esok (hari ini) saya akan mengikat kontrak selaku jurulatih dan bersedia untuk melakukan yang terbaik di sini.

“Kita akan melihat daripada pelbagai sudut untuk mempertingkatkan pasukan ini, saya yakin dengan bantuan pihak pengurusan dan panel jurulatih lain, tugas saya akan berjalan dengan lancar,” kata bekas pemain import Perak itu.

Krecska dari Hungary pernah beraksi bersama pasukan Perak pada penghujung 90-an dan beraksi bersama rakan senegara yang juga penjaring terbanyak liga 1997, Laszlo Repasi dan tahun lepas pernah melatih skuad KL Plus.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...