Friday, April 22, 2011

Harimau Muda rehat, skuad SSBJ ambil alih?

KUALA LUMPUR - Bagi mengelakkan para pemain terlalu penat sebelum perlawanan kelayakan Olimpik menentang Lebanon pada 19 Jun ini, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee sudah memberikan bayangan akan merehatkan kesebelasan utama dalam lima perlawanan terakhir Liga Super pada Mei ini.

Bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan, dia berkemungkinan besar akan menggunakan khidmat pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam mengharungi kelima-lima perlawanan tersebut.

''Saingan Liga Super bukannya tidak mustahak bagi kita tetapi kita kena realistik apa tujuan pembentukan skuad Harimau Muda A ini, yang mana satu kita hendak mahukan?

''Pemain-pemain saya semakin kepenatan dan jika mereka meneruskan saingan liga sehingga perlawanan terakhir pada bulan Mei nanti, saya bimbang mereka terus 'pancit' dan tidak dapat memberikan yang terbaik semasa menentang Lebanon nanti.

''Saya harus berikan semua pemain saya rehat yang cukup dalam lima perlawanan terakhir sebelum perlawanan kelayakan Olimpik dan sedang berfikir mahu menurunkan pemain dari SSBJ," katanya sejurus tamat perlawanan Harimau Muda A dan Kedah di Stadium Shah Alam.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia perlawanan itu membabitkan T-Team (12 Mei), Sabah (15 Mei), Terengganu (19 Mei), Kelantan (22 Mei) dan Selangor (25 Mei)

Mengulas kekalahan kepada Kedah, Kim Swee mendedahkan pemainnya dihukum hanya atas satu kesilapan pada babak akhir perlawanan sedangkan mereka mengawal permainan sepenuhnya di separuh masa kedua.

''Memang saya akui sangat kecewa kerana kami kalah kerana satu kesalahan yang dilakukan pemain tetapi dalam masa sama saya tidak boleh marah mereka kerana masing-masing masih muda, kerana takut moral mereka boleh jatuh.

''Amer yang melakukan kesilapan itu baru berusia 19 tahun dan saya tidak boleh menghukum terus atas kesalahannya memandangkan saya kini tiada pilihan lain di bahagian pertahanan memandangkan Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad masih cedera.

''Namun, apa yang saya bimbangkan, mereka masih mengulangi kesilapan demi kesilapan dalam perlawanan, sepatutnya apabila semakin banyak perlawanan yang diharungi, pemain semakin matang namun ia tidak berlaku, saya bimbang ini akan berulang semasa di peringkat antarabangsa nanti, " jelasnya.

Dalam perlawanan itu, Harimau Muda A tunduk 1-0 kepada Kedah hasil kesilapan Mohd. Amer Saidin yang tertanduk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-79.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...