Thursday, April 28, 2011

Usah salah faham

TAWARAN saat akhir skuad Olimpik Arab Saudi untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik negara sukar dipenuhi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana akan menjejaskan perjalanan Liga Super yang kini sedang rancak memasuki pusingan kedua musim ini.


Penolong Setiausaha Agung FAM, Kelly Sathiraj berkata, walaupun badan induk bola sepak negara itu tidak mengambil kesempatan untuk menguji skuad negara kendalian Ong Kim Swee, ia tidak bermakna pihaknya mengetepikan keutamaan persiapan skuad itu menjelang kelayakan Olimpik 2012 London.

“Memang kami ada menerima tawaran daripada ejen skuad Olimpik Arab Saudi untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad negara, tapi jadual liga terlalu ketat kerana mereka meminta untuk mengadakan perlawanan pada 1 dan 4 Mei ini.




“Tawaran Arab Saudi ini datang secara tiba-tiba, FAM hanya diberitahu pada pertengahan April lalu, jadi memang susah untuk kita mengubah jadual perlawanan kerana kami tidak boleh menunda perlawanan liga ke tarikh lain kerana Jun dan Julai akan lagi sibuk dengan perlawanan kelayakan Olimpik dan kelayakan Piala Dunia,” katanya semalam.

Arena Metro semalam melaporkan skuad Olimpik negara yang akan mengharungi pusingan kedua kelayakan Olimpik London menentang Lubnan di Beirut pada 19 Jun ini terlepas peluang untuk diuji Arab Saudi yang mengadakan latihan pusat di Kuala Lumpur bermula semalam.


Sepanjang lapan hari, pasukan dari negara Teluk itu berkampung di sini, Harimau Muda A yang menjadi teras skuad Olimpik negara pula terikat dengan perlawanan Liga Super menentang Perlis (30 April) dan Felda United (6 Mei).





Sebagai pengganti skuad Olimpik negara, Arab Saudi yang akan berdepan Vietnam pada aksi kelayakan Olimpik, menjemput Korea Utara sebagai lawan dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Walaupun badan induk bola sepak tanah air itu sudah merancang untuk menghantar skuad Olimpik negara ke Qatar pada 9 Jun depan bagi latihan dan perlawanan pemanas badan bersama skuad Olimpik negara itu, namun aksi dengan Arab Saudi ini juga medan terbaik untuk Kim Swee menguji pemain menentang skuad yang memiliki corak permainan tidak jauh berbeza dengan Lubnan.




Sebelum ini, permintaan Kim Swee untuk menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang membabitkan Harimau Muda A pada Jun ini mendapat lampu hijau FAM bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada aksi kelayakan Olimpik.

Bagaimanapun Kelly berkata, kali ini pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana kelancaran liga tempatan juga perlu diambil kira.


“Tidak bermakna setiap tawaran (mengadakan perlawanan) FAM kena terima. Kita kena faham, saingan liga dan misi negara sama penting, jadi perlu ada keputusan situasi menang-menang di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...