BUKIT MERTAJAM - Pulau Pinang tidak mahu menoleh ke belakang selepas berjaya mengutip mata pertama dalam Liga Perdana selepas 12 perlawanan apabila seri tanpa jaringan dengan Harimau Muda B di Stadium Negeri Batu Kawan, kelmarin.
Pengendalinya, Abdul Rahim Hassan berkata, satu mata itu amat berharga untuk menjadi pemangkin semangat kepada pasukannya untuk terus mengutip mata pada perlawanan seterusnya.
Menurut Rahim, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemain terutama beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden, yang mengekang asakan bertali arus pasukan pelawat.
"Biarpun gagal menjaringkan gol, saya bersyukur kerana kami akhirnya dapat satu mata selepas mempersia-siakan banyak peluang sebelum ini apabila bolos 30 gol dan hanya mampu mendapat tujuh gol.
"Jadi pemain harus mengekalkan prestasi pada perlawanan akan datang terutama pada Jumaat ini menentang Pos Malaysia di tempat sendiri," katanya.
Tambah Rahim, pemain sudah tiada masa untuk berehat tetapi harus menumpukan perhatian serta bekerja keras memperbaiki kelemahan.
Jelasnya, antara kelemahan dalam pasukan adalah jentera serangan yang tumpul dan tidak kreatif mencari gol, jadi ia perlu diatasi segera.
Selain itu katanya, pihak pengurusan juga akan mencari beberapa pemain muda berpotensi bagi mengisi kekosongan beberapa posisi ekoran masalah kecederaan beberapa pemain utama.
"Dalam perlawanan semalam dua pemain kami digantung perlawanan manakala beberapa lagi cedera, jadi saya terpaksa menggantikan mereka dengan pemain skuad Piala Presiden.
"Saya gembira kerana mereka memberikan persembahan yang mantap.
"Saya juga akan beri peluang kepada pemain muda ini untuk tonjolkan kelebihan mereka dan berharap mereka tak takut bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman dalam saingan liga ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment