Wednesday, April 20, 2011

Safee masih ada peluang wakil negara

IMPIAN Safee Sali untuk menyarung jersi negara belum tertutup sepenuhnya walaupun sebelum dia diketepikan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal ketika perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Etoile FC.

“Ketika ini dia masih terikat dengan jadual ketat kelab Liga Super Indonesia, jadi saya tidak memanggilnya,” kata Rajagobal ketika ditanya mengenai peluang Safee menyertai skuad Piala Dunia negara yang akan menentang Taiwan pada 29 Jun dan 3 Julai ini.

“ Saya belum putuskan sama ada akan memanggil Safee atau tidak. Jadi tidak perlu ada spekulasi.” Pasukan kebangsaan diundi menentang Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia dan Rajagobal akan mula memanggil 24 pemain untuk latihan pusat pada 28 Mei ini.
Rajagobal yang kini sibuk menilai prestasi pemain dalam saingan Liga Malaysia, berpuas hati dengan kualiti dipamerkan pemain kebangsaan yang bakal mengisi skuad Piala Dunia kendaliannya.

“Selain pemain sedia ada, saya juga sudah mengenalpasti beberapa pemain lain yang mempunyai kemahiran tinggi dan mampu menjadi aset kepada pasukan,” kata Rajagobal yang perlu menyediakan pasukan untuk kunjungan balas ke Hong Kong dalam satu perlawanan persahabatan 3 Jun nanti.

“Kami juga merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan sebelum 7 Jun dan selepas itu, skuad kebangsaan akan dikumpul sekali lagi pada 24 Jun bagi persiapan menentang Taiwan di tempat lawan.”
Sepanjang ketiadaan Safee yang berpindah ke Indonesia Februari lalu, Rajagobal memanggil Ahmad Fakri Saarani digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha di barisan depan.

Safee dijangka akan menamatkan kembali ke tanah air selepas saingan Copa Indonesia yang bermula hujung bulan ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...