Thursday, April 21, 2011

Penalti kontroversi rencat semangat juang Perak

IPOH - Penalti kontroversi yang diberikan kepada Terengganu menjejaskan rentak permainan Perak pada pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Super di Stadium Perak, kelmarin.

Jurulatih Perak, Norizan Bakar mengakui rentak persembahan anak buahnya hambar setelah Terengganu memperolehi gol penyamaan.

Perak gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu.

Kegagalan Perak mengutip mata penuh menyebabkan mereka jatuh ke tangga keempat liga dengan 23 mata.

Sebaliknya, walaupun meraih satu mata, Terengganu naik ke di tangga kedua dengan 25 mata.

Terengganu dihadiahkan penalti apabila pemain pertahanan Perak mengkasari Joseph Kallang Tie pada minit ke-57.

Keputusan pengadil, Anuar Che Husin memberi sepakan penalti dibantah pemain Perak yang mendakwa kekasaran tersebut berlaku di luar kotak penalti.

Pengadil tetap dengan keputusannya untuk penalti disempurnakan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-59 bagi gol penyamaan Terengganu.

Perak mendahului melalui jaringan Mohd Shafiq Jamal minit kelapan.
Norizan enggan mengulas keputusan pengadil yang memberikan penalti.

"Saya juga tidak menyalahkan mana-mana pemain kerana gagal mengutip mata penuh," katanya.

Menurutnya, para pemain telah melaksanakan tugas yang diberikan tetapi masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

"Terengganu mengawal ketat setiap pergerakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli bagi menghalang pemain itu menjaringkan gol,'' katanya..

Razali Umar Kandasamy dimasukkan menggantikan Mohd Shafiq pada minit ke-63, juga dikawal ketat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...