KUCHING: Sarawak semakin menghampiri puncak liga apabila meratah Pulau Pinang dengan jaringan besar 5-0 pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Perdana 2011 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang semalam (Isnin).
Dengan kemenangan bergaya itu, Sarawak kini sudah mengumpul 26 mata di tangga kedua dan anak-anak buah Robert Alberts itu kini berpeluang cerah untuk merampas takhta liga dari genggaman PKNS Selangor yang mengumpul 30 mata.
Gol-gol Sarawak semalam dijaringkan oleh kapten Zamri Morshidi dua gol (minit ke-17 dan 71), Ashri Chuchu (minit ke-29), Bobby Gonzales (minit ke-71) dan Hairol Moktar (minit ke-76).
“Saya amat gembira dengan kemenangan besar ini dan kita telah menyaksikan satu persembahan hebat daripada semua pemain,” kata Alberts yang ditemui pemberita selepas perlawanan.
Menurut Alberts, pemain-pemainnya telah menunjukkan kombinasi terbaik di semua posisi terutamanya di bahagian jentera serangan yang ternyata telah berfungsi dengan amat berkesan.
Beliau berkata gandingan mantap membabitkan Zamri Morshidi dan Bobby di barisan serangan telah menunjukkan mutu persembahan yang menarik dan jitu.
“Saya yakin pasukan kita mampu mara lebih jauh jika semua pemain mampu mengekalkan kecemerlangan mereka serta meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.
Alberts yang mengambil alih tugas daripada Mohd Zaki Shaikh Ahmad awal bulan ini, percaya anak-anak buahnya mampu meneruskan persembahan hebat mereka dalam aksi seterusnya.
Sarawak sekali lagi akan menjadi tuan rumah apabila menanti kunjungan MP Muar Johor di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Jumaat ini (29 April).
“Kemenangan besar ini sudah tentunya akan menyemarakkan lagi semangat para pemain untuk terus memburu kemenangan dalam perlawanan seterusnya,” kata jurulatih import dari Belanda itu dengan bersemangat.
PAda perlawanan semalam, Sarawak membuka jaringan menerusi Zamri Morshidi pada minit ke-17 menerusi rembatan jarak dekat di depan gawang Pulau Pinang.
Lebih kurang 10 minit selepas itu, giliran Ashri mencipta nama sebagai penjaring dengan gol kedua Sarawak pada minit ke-29 hasil ledakan lencongan yang gagal diselamatkan penjaga gol Pulau Pinang, S. Kugen.
Berakhir babak pertama Sarawak mendahului pasukan pelawat dengan 2-0. Masa rehat digunakan oleh kedua-dua jurulatih ‘memerah otak’ memantapkan jentera skuad masing-masing.
Walau bagaimanapun, babak kedua Sarawak terus mengganas dengan meledakkan tiga lagi gol menerusi sentuhan berbisa penjaring terbanyak Sarawak setakat ini, Bobby pada minit ke-70.
Zamri yang beraksi dengan penuh bersemangat menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu dan gol keempat buat Sarawak seminit selepas itu.
Sarawak yang menerima sokongan padu hampir 2,000 penonton memperolehi gol kelima yang dihasilkan oleh pemain tengah, Hairol ketika perlawanan menghampiri detik penamat.
GOL!!!: Ketua pasukan Sarawak, Zamri Morshidi (kiri) menjaringkan gol ketika menentang Pulau Pinang semalam. — Gambar Johnathan Bullet |
No comments:
Post a Comment