PETALING JAYA - Kredibiliti barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan imej bola sepak negara semakin diiktiraf selepas tiga wakilnya dilantik ke beberapa jawatankuasa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pertandingan AFC manakala Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk Astaman Abdul Aziz pula dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pengadil AFC.
Ahli jawatankuasa Tatatertib, Ednan Othman pula dilantik sebagai ahli jawatankuasa Tatatertib AFC.
Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, pelantikan tersebut adalah bagi penggal 2011-2015.
"Ia merupakan penghormatan kepada FAM," kata Azzuddin.
Hamidin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan berkata, beliau menerima surat pelantikan daripada AFC kelmarin dan menganggap pelantikannya sebagai satu pengiktirafan kepada barisan kepimpinan FAM.
"Seingat saya, wakil FAM yang pertama dilantik ke dalam jawatankuasa yang sama ialah bekas penolong setiausaha FAM, Datuk Yap Nyim Keong pada awal tahun 2001," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment