Wednesday, April 20, 2011

Selangor kukuh cengkaman liga

Kelantan kenduri gol di Kangar, Perak-Terengganu seri 1-1 di Ipoh 

SELANGOR kekal di tangga teratas selepas menamatkan pusingan pertama saingan Liga Super hasil kemenangan ke atas Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan itu mengumpul 29 mata selepas 13 perlawanan, empat mata mengatasi pencabar terdekat Terengganu yang seri 1-1 dengan Perak di Ipoh.Aksi babak pertama bermula agak membosankan apabila tiada serangan benar-benar mengancam kedua-dua pasukan dengan tuan rumah mendapat peluang terbaik menerusi rembatan Hardi Jaafar pada minit ke-27 tetapi sedikit tersasar manakala rembatan leret Azidan Sarudin pada minit ke-39, ditepis keluar penjaga gol Syed Adney Syed Hussein. 

Jurulatih K Devan memasukkan Rudie Ramli menggantikan Fadzli Saari tetapi hanya pada babak kedua, Selangor tampak bertenaga dan Azidan akhirnya menceriakan kem Selangor apabila menyempurnakan sepakan percuma yang gagal ditampan kemas Syed Adney pada minit ke-71. 

Di Stadium Utama Negeri, Perlis tampak mampu mengekang asakan pelawat pada babak pertama apabila pantas menyamakan kedudukan selepas Norshahrul Idlan Talaha membolosi gawang mereka pada seawal minit keenam permainan. 

Namun gol tunggal minit ke-11 oleh Mohd Faiz Subri tidak cukup buat Perlis, yang kemudian terus dibolosi pada minit ke-43 menerusi Norshahrul sebelum kapten pasukan, Mohd Badri Radzi meledak hatrik pada babak kedua (m-46, 66 dan 78). Di Stadium KLFA Cheras, FELDA United kembali menemui rentak kemenangan selepas dua episod derita di tangan Kelantan dan Selangor, apabila membenam Kuala Lumpur 2-1 hasil jaringan Mohd Azrul Ahmad (m-6, 12). Gol tunggal Kuala Lumpur menerusi Mohd Syafiq Johari (m-42) 

Di Stadium Perak, penghuni tangga kedua dan ketiga, Perak dan Terengganu sekadar seri 1-1 untuk mengekalkan kedudukan masing-masing di tangga liga. Mohd Shafiq Jamal membuka jaringan untuk tuan rumah pada minit kelapan dan disamakan pelawat menerusi gol Abdul Hadi Yahya (m-59). 

Di Stadium Sultan Ismail, T-Team sekadar seri 1-1 bertemu Johor FC selepas pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Shahru Ezan Shamsudin menanduk masuk gol pembukaan minit ke-10, sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Shahrizal Mohd Saad (m-48). 

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan perlawanan antara Pahang dan Negeri Sembilan juga berkesudahan dengan keputusan 1-1. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...