PENYERANG utama Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha bertekad menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan bagi menjamin kedudukan selesa pasukannya, selain mahu menambah koleksi jaringan peribadi memburu Kasut Emas.
Berbekal 11 gol Liga Super setakat ini, Norshahrul atau nama timangannya Mat Yo optimis mampu menggegar gawang selain terus mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan.
“Sebagai penyerang utama, saya perlu menjaringkan gol pada setiap perlawanan, bukan hanya untuk kepuasan peribadi tapi keselesaan perjuangan pasukan. Saya juga mengakui sebagai penyerang utama, saya mempunyai sedikit tekanan, namun itu bukan alasan. “Sebaliknya, saya harus berfikiran positif dengan berusaha lebih kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya selepas sesi latihan di padang Mardi, Pasir Tumbuh, semalam.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu pula memberikan ingatan kepada pemain supaya sentiasa fokus selain tidak memandang mudah Kuala Lumpur yang akan ditemui di Kota Bharu, malam ini.
Katanya, walaupun Kelantan menewaskan Kuala Lumpur pada pusingan pertama, keputusan lalu bukan ukuran untuk menilai kekuatan lawan kerana mereka semestinya menaruh tekad untuk bangkit.
“Saya mengingatkan pemain supaya fokus pada setiap perlawanan walaupun sudah menang tiga kali berturut-turut. Kita tidak boleh menilai lawan dengan mengambil kira kemenangan lalu kerana Kuala Lumpur pasti mengatur strategi baru,” katanya.
No comments:
Post a Comment