KUALA LUMPUR – Selangor hampir melepaskan teraju Liga Super namun berjaya bertahan untuk seri 1-1 dengan Terengganu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Selangor mempamerkan rentak agresif pada babak pertama terlebih dahulu mengambil giliran mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-43.
Hantaran Amri Yahyah berjaya memperdayakan pertahanan Terengganu yang menyangka Safiq berada pada kedudukan ofsaid, sebelum kapten Harimau Malaya itu melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharbinee Allawee.
Bermula babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya pada minit ke-62, gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma.
Gol berpunca daripada hantaran silang Joseph Kalang Tie yang disudahkan oleh Ismail Faruqi menerusi satu tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Saiful Amar Sudar.
Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan, Selangor menarik nafas lega kerana barisan hadapan Terengganu banyak mensia-siakan peluang mendapatkan gol kemenangan.
Namun, kedudukan Selangor selaku pendahulu mungkin sementara jika Kelantan berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohammed IV hari ini.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kedah, yang mendapat sentuhan pertama Wan Jamak Hassan.
Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ke-30 sebelum Mohd. Firdaus Faudzi menambah derita skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-75.
Pertahanan tuan rumah, Mohd. Syazwan Roslan membunuh semangat rakan sepasukan dan 15,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82.
Mohd. Hazrul Mustafa memberikan jaringan sagu hati Perak pada minit ke-90
No comments:
Post a Comment