KUALA LUMPUR - Jaringan tunggal Azidan Sarudin menyelamatkan Selangor untuk terus kukuh menerajui carta bola sepak Liga Super 2011 setelah mereka menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Gol dan tiga mata idaman Gergasi Merah itu terhasil daripada rembatan rendah sepakan percumanya minit ke-72 yang gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein.
Kemenangan tipis ini menjarakkan anak buah K. Devan di tangga teratas dengan mengumpul 29 mata setelah pencabar terdekat, Terengganu mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh tetapi masih kekurangan empat mata.
Kegembiraan Seladang yang mendapat gol pendahuluan Safiq Jamal pada minit kelapan dilenyapkan langsung dengan jaringan penalti Abdul Hadi Yahya, minit ke-59.
Lebih parah ialah apabila kegagalan meraih tiga mata itu membolehkan Kelantan pula memintasnya di tangga ketiga setelah Wira Merah membelasah Perlis 5-1 di Stadium Utama, Kangar.
Jaringan hatrik ketua pasukan, Badri Radzi pada minit ke-46, 66 dan 78 serta dua gol Norshahrul Idlan Talaha (6 dan 43) melonjakkan skuad M. Karathu dengan 24 mata sambil mengekori Terengganu.
Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula membawa Felda United ke tempat keenam liga sambil memintas Harimau Muda A hasil dua jaringan Azrul Ahmad pada minit keenam dan 12.
Hasrat Azraai Khor Abdullah melihat kemenangan sulung Negeri Sembilan di bawah bimbingannya hasil jaringan Idris Karim pada minit ke-10, tidak kesampaian kerana diikat 1-1 oleh pemain Pahang, Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-79.
Si Rusa terpaksa bermain dengan 10 orang dalam sebahagian besar perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu angkara kehilangan Hairuddin Omar pada minit ke-27 yang dikenakan kad merah.
Pertembungan T-Team dengan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berkesudahan seri 1-1 masing-masing menerusi jaringan Mohd. Shahrul Ezrain (10) dan Shahrizal Saad (48).
Pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah (kanan) diasak pemain Sabah, Rosdin Wasli pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam. |
No comments:
Post a Comment