Monday, April 25, 2011

Dua bulan perbaiki 'penyudah'

KUALA LUMPUR - Hanya tinggal kurang dua bulan sahaja lagi pusingan kedua kelayakan Olimpik berdepan Lebanon tetapi bagaikan seperti yang ada tidak kena jika dilihat perkembangan skuad bawah 22 tahun negara.

Percaya atau tidak, dalam 12 perlawanan yang dilalui Harimau Muda A, hanya tiga jaringan sahaja mampu dilakukan oleh penyerang, iaitu dua daripadanya melalui Izzaq Faris Ramlan dan satu lagi gol menerusi Syahrul Azwari Ibrahim.

Penyerang-penyerang yang lain seperti A. Thamil Arasu, Mohd. Ferris Danial dan Haziq Zikri Elias masih buntu mendapatkan sebarang jaringan.

Menambahkan lagi permasalahan Ong Kim Swee, seorang lagi penyerang Olimpik, Ahmad Fakri Saarani yang beraksi bersama Negeri Sembilan berdepan situasi yang lebih buruk.

Tiada langsung sebarang jaringan berjaya dilakukan oleh pemain tinggi lampai itu bersama Negeri Sembilan pada musim ini, ia bagaikan satu berita yang amat menakutkan buat skuad Olimpik negara.

Hakikat itu diakui oleh pengendalinya sendiri, Kim Swee yang berasa kecewa dengan ketidakupayaan barisan penyerang mendapatkan gol buat pasukan sebaliknya tugas itu banyak dipikul oleh pemain tengah pasukan seperti Mohd. Irfan Fazail dan Mohd. Fandi Othman.

''Tidak tahulah apa punca sebenar barisan penyerang saya yang gagal memainkan peranan mendapatkan gol dalam kebanyakan perlawanan, ini masalah saya pada masa sekarang.

''Saya telah memberikan peluang kepada semua penyerang namun mereka gagal menjaringkan gol dalam kebanyakan perlawanan.

''Saya telah memberikan mereka peluang untuk beraksi, namun pemain seperti A. Thamil Arasu gagal menyerlah manakala Haziq Zikri yang baru pulih daripada kecederaan, masih tidak menjadi.

''Syahrul Azwari pula tidak begitu konsisten, saya harap kami dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini sebelum perlawanan kelayakan Olimpik nanti, " katanya selepas perlawanan menentang Kedah tempoh hari di Stadium Shah Alam.

Luahan Kim Swee itu jelas sekali kebimbangannya mengenai skuad Olimpik negara ada asasnya menjelang menentang Lebanon dalam dua perlawanan secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun ini.

Tiada guna jika bahagian tengah yang ditunjangi K. Gurusamy, Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal berjaya mengawal permainan, namun tiada siapa antara penyerang mampu menyudahkan peluang.

Masalah bahagian serangan skuad Olimpik negara sememangnya sudah dapat dikesan sejak perlawanan dengan Pakistan pada pusingan pertama lalu sama ada di Shah alam atau Karachi.

Walaupun mendapat banyak peluang, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri gagal mencetak sebarang gol buat negara.

Persoalannya, bagaimana Kim Swee dapat menyelesaikan masalah itu apabila dia sendiri apabila dalam masa sama berkata tiada mana-mana penyerang muda lain yang beraksi bersama skuad negeri berjaya memikat hatinya.

Adakah dia akan terus bergantung harap kepada barisan penyerang yang serba tumpul atau mungkin dia dapat mencari formula atau taktikal terbaik mengatasi masalah itu?

Siapakah bakal muncul sebagai penyelamat? Hanya Kim Swee mempunyai jawapannya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...