Monday, April 25, 2011

Safee dalam dilema

PENYERANG negara, Mohd Safee Sali kini dalam dilema, memilih antara negara ataupun aksi bersama kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya FC.
Aksi cemerlang Safee bersama Pelita Jaya berjaya memikat jurulatih K Rajagobal apabila dia bakal kembali menyarung jersi kebangsaan bagi aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada 3 Jun ini.

Sesungguhnya, ia perkhabaran dinantikan peledak berbisa berusia 27 tahun itu selepas tidak dipanggil bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Perancis yang beraksi dalam Liga Singapura, Etoile FC bulan lalu.

Hatinya kuat untuk beraksi bersama rakan sepasukan selepas kali terakhir bersama ketika membantu Malaysia menewaskan Hong Kong, 2-0, pada aksi persahabatan 9 Februari lalu.

Namun, pada masa sama, Pelita Jaya turut berdepan perlawanan penting menentang Persija pada 5 Jun, dua hari selepas perlawanan di Hong Kong.


“Saya belum mendapat pengesahan secara rasmi untuk menyertai skuad kebangsaan tapi saya diberitahu pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bahawa saya akan dipanggil untuk perlawanan dengan Hong Kong.

“Perkara ini belum ‘confirm’ tapi maklumat yang disampaikan ini mungkin untuk saya bersedia lebih awal. Memang perasaan berbelah bahagi sebab ketika perlawanan persahabatan itu, Pelita Jaya juga mempunyai perlawanan penting menentang Persija.

“Tapi hati saya kuat untuk bersama skuad kebangsaan kerana saya perlu pikul tanggung jawab itu. Walaupun perlawanan dengan Hong Kong hanya perlawanan persahabatan tapi ia penting untuk persiapan pusingan kelayakan Piala Dunia dan memperbaiki ranking negara,” katanya yang dihubungi Arena Metro.



Safee yang kembali ke tanah air hari ini bagi memenuhi undangan majlis Tune Talk berharap, FAM dapat mengadakan perbincangan bersama kelabnya untuk mendapatkan pelepasan.

Sebelum perlawanan lSL menentang Arema semalam, dia membuktikan sentuhan berbisanya dengan melakukan impak bersama pasukan barunya selepas berpindah dari Selangor Februari lalu apabila meledak lima gol dalam tujuh perlawanan sekali gus membantu Pelita Jaya FC melonjak ke tangga ke-12 liga selepas terperosok di dasar liga sebelum ini.


Sementara itu, pemergian skuad kebangsaan ke Hong Kong adalah sebahagian daripada persiapan Rajagobal yang akan memanggil 24 pemain bagi latihan pusat bermula 28 Mei untuk persiapan menentang Taiwan dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2012 Zon Asia pada 29 Jun.


Empat hari selepas itu, skuad kebangsaan akan menanti kunjungan Taiwan bagi perlawanan kedua dan jika melepasi halangan itu Malaysia bakal bertemu Singapura di pusingan kedua.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...