Thursday, April 28, 2011

Karathu puas atasi Selangor

WALAUPUN Kelantan mampu menundukkan Selangor sekali lagi di Stadium Sultan Muhammad IV, ketua jurulatihnya, Datuk M Karathu tetap mengakui kemenangan ke atas pasukan bimbingan K Devan malam kelmarin, bukan sesuatu yang mudah.
Karathu berkata, aksi menarik dipamerkan anak didiknya, terutama bahagian pertahanan yang begitu kental menangkis serangan lawan, membolehkan mereka keluar sebagai pemenang hasil jaringan awal Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-4.

“Kemenangan ini begitu besar maknanya buat kami kerana pusingan kedua baru bermula. Selain itu, kami juga menewaskan pasukan pendahulu liga yang dianggap kuat serta dibarisi ramai pemain berpengalaman.


“Bagaimanapun, saya rasa gol awal Norshahrul itu mengganggu corak permainan Selangor dan apabila kami dapat bertahan dengan baik bagi mengurangkan peluang mereka menjaringkan gol, semangat mereka juga semakin luntur,” kata Karathu selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun Karathu meminta penyokong Kelantan supaya bersabar dengan ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi atau Piya kerana gagal menjaringkan gol walaupun sudah memberikan aksi terbaik.


“Bagi saya, Badri sudah menunjukkan mutu permainan baik, namun dia masih gagal menjaringkan gol hingga ada penonton kecewa, sebab itu saya terpaksa mengeluarkannya pada lima minit terakhir,” katanya.



Sementara itu, jurulatih Selangor, K Devan, akur dengan persembahan goyah pemainnya apabila gagal mempamerkan aksi sebenar dan situasi itu memberi ruang kepada pemain Kelantan untuk mengasak mereka.

Malah Devan juga mengakui jaringan awal Kelantan memberi tekanan kepada pemainnya untuk mencari gol penyamaan, selain terpaksa berdepan tekanan penyokong setia tuan rumah.



“Saya akui permainan Selangor malam ini tidak seperti sebelum ini dan ini mungkin berlaku disebabkan kita tidak bersedia sepenuhnya berikutan kekurangan rehat kerana sebelum ini terpaksa bermain di Sabah sebelum ke Kelantan pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...