REMBAT: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales melakukan rembatan sambil cuba dicabar pemain MP Muar pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam. Sarawak menang besar 6-0. — Gambar Chimon Upon |
Keyakinan skuad negeri jelas terpancar dengan kemenangan 6-0 ke atas MP Muar
KUCHING: Sarawak semakin menguntum senyuman lebar apabila mereka ‘berkenduri’ gol sekali lagi ketika meratah MP Muar Johor enam gol tanpa bolos dalam aksi Liga Perdana 2011 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang semalam (Jumaat).
Sarawak yang menayangkan prestasi mantap sebaik wisel pertama mengecewakan pasukan pelawat dengan gol pendahuluan menerusi sentuhan berbisa kaptennya, Zamri Morshidi ketika perlawanan baru berusia tujuh minit.
Namun Sarawak hanya mampu mendahului 2-0 dalam babak pertama hasil gol kedua yang diledakkan oleh penyerang import dari Sabah, Bobby Gonzales ketika babak pertama berbaki lima minit untuk ditamatkan.
Babak kedua menyaksikan pasukan tuan rumah dengan sokongan hampir 5,000 penyokong setianya menambah empat lagi jaringan hasil penyudah Ashri Chucu (dua gol), Bobby Gonzales (satu gol) dan Mohd Shahrol Saperi (satu gol).
“Saya amat berbangga dengan prestasi hebat semua pemain terutamanya pemain-pemain muda seperti Ashri (Chuchu), Hairol Moktar, Dzulazlan Ibrahim dan Azizan Saperi,” kata ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan Sarawak, Robert Alberts ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.
Menurut jurulatih berpengalaman dari Belanda itu, Sarawak telah menunjukkan mutu permainan baik seawal 15 minit pertama.
Namun, beberapa insiden kecil membabitkan kedua-dua pasukan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Sarawak.
“Walau bagaimanapun, saya amat kagum kerana semua pemain telah bangkit dalam saingan babak kedua sekali gus menambah empat lagi jaringan berharga,” katanya sambil yakin para pemain dapat mengekalkan rentak cemerlang itu pada perlawanan seterusnya.
Alberts berkata ternyata banyak perubahan dan peningkatan berlaku terhadap skuadnya jika dibandingkan dengan beberapa perlawanan sebelum ini.
“Kita percaya pemain-pemain akan meneruskan kecemerlangan mereka menghadapi perlawanan akan datang, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai sebuah pasukan yang disegani dan dihormati lawan pada masa sekarang.
“Saya berharap sokongan penyokong-penyokong setia juga semakin ramai untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut perlawanan semalam, Alberts ternyata gembira apabila anak-anak buahnya beraksi penuh cemerlang dalam babak kedua justeru mampu meledakkan empat jaringan.
Sebaik masa rehat, Sarawak memperolehi gol ketiga pada minit pertama babak kedua menerusi jaringan pemain muda, Ashri Chuchu.
Perlawanan semakin rancak dengan Sarawak melakukan serangan bertali arus sehingga memaksa pasukan pelawat bimbingan jurulatih, Jacob Joseph tidak mampu mengekang asakan terbabit.
Gol keempat Sarawak menyusuri pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti Mohd Shahrol Saperi setelah pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti setelah Zamri Morshidi dijatuhkan oleh pertahanan lawan.
Selang seminit selepas itu, Stadium Negeri yang pernah mencatat sejarah kegemilangan bola sepak Sarawak era 80-an dan 90-an bergema dengan sorakan penyokong tatkala giliran Bobby menjaringkan gol kelima.
Lima belas minit sebelum perlawanan tamat, Ashri sekali lagi meletakkan dirinya sebagai penyerang muda berbisa apabila menjaringkan gol keenam pada minit ke-75.
Setiap jaringan yang dilakukan oleh pemain-pemain Sarawak menyebabkan para pegawai Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terutama presidennya, Datu Sudarsono Osman tidak dapat ‘duduk renah’.
Sarawak akan meneruskan cabaran dengan menanti kunjungan skuad warga kota, KL Pos FC Isnin ini (2 Mei).
Sehubungan itu, FAS merayu para penyokong setia bola sepak tempatan datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Sarawak pada perlawanan Isnin ini.
“Kita minta para penyokong datanglah memberi sokongan padu kepada pasukan Sarawak pada pertemuan dengan KL Pos FC, Isnin ini,” kata Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi.
No comments:
Post a Comment