Saturday, April 23, 2011

Cengkaman Selangor longgar

KETIKA aksi Liga Super musim ini mula memasuki pusingan kedua, tiada siapa yang boleh meramal sejauh mana kedudukan liga yang kini diterajui Selangor boleh dipertahankan penyandang juara itu.


Ini kerana saingan merebut kejuaraan masih terbuka dan bertambah sukar buat semua pasukan apabila menyaksikan pemain-pemain mereka bergelut dengan faktor keletihan selepas mengharungi enam perlawanan bulan ini.

Juara bertahan Selangor masih diselubungi keresahan apabila bertandang ke Stadium Likas malam ini. Meskipun meraih tiga mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir menentang Sabah, Perak dan Felda United namun jentera serangan skuad Red Giants yang dikendalikan K Devan tampak gagal berfungsi dengan baik apabila sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam semua perlawanan itu.




Bagi Terengganu yang mengumpul 25 mata, ketinggalan empat mata di belakang Selangor bakal berdepan tugas getir di laman sendiri bertemu pasukan yang paling menonjol musim ini, Perak selepas dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar.

Semestinya, skuad Penyu itu terus menagih sentuhan berbisa penyerang Abdul Hadi Yahaya untuk merobek gawang lawan selepas mencuri tumpuan dengan meledak gol dalam empat perlawanan terakhir termasuk gol tunggal perlawanan menewaskan Perak di Ipoh, Selasa lalu.


Kedah pula akan bertemu sekali lagi dengan barisan pemain Harimau Muda A, bimbingan Ong Kim Swee di Stadium Darul Aman, selepas menumpaskan skuad muda itu 1-0 di Shah Alam sebelum ini.





Semangat mereka untuk mengulangi kejayaan itu pasti berkobar-kobar dengan perkhabaran terbaru bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan bakal membimbing skuad Hijau Kuning dalam tempoh terdekat ini.

Situasi T-Team pula agak pelik selepas menumbangkan gergasi Kelantan dan Selangor, pasukan kelab Pantai Timur itu kemudian gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir. Mereka akan bertandang ke Stadium JCorp menentang Johor FC malam ini dalam pertemuan yang dianggap seimbang jika dinilai berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...