NEGERI Sembilan mengakhiri kekecewaan dialami pada enam perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super apabila bangkit dengan persembahan meyakinkan untuk membenam Pahang, 3-1, pada saingan pertama pusingan kedua, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Sekalipun tidak dapat menurunkan kesebelasan utama kerana masalah kecederaan dan penggantungan dengan mempertaruhkan kelibat pemain muda skuad Piala Presiden, skuad Hoben Jang Hoben berjaya menyerap tekanan pihak lawan.
Jaringan penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-13 diikuti G Mahathevan (M-26) dan Mohd Firdaus Azizul (m-58) membuatkan ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah menarik nafas lega apabila impian menyaksikan anak didiknya mencipta kemenangan sejak 22 Mac lalu tercapai.
“Alhamdulillah, akhirnya impian menyaksikan Negeri Sembilan mencapai kemenangan tercapai selepas pasukan dilanda pelbagai masalah kecederaan dan penggantungan. Tindakan drastik mempertaruhkan tiga pemain muda, Mohd Fiqri Adwan, Mohd Khairul Ridzuan da Muszaki Abu Bakar nyata tidak menghampakan.
“Mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan berjaya melaksana peranan dengan berkesan dan mengikut arahan menerapkan strategi direncanakan hingga membantu kemenangan penting buat pasukan,” katanya.
Selain penyerang Hairuddin Omar dan Idris Karim (tengah) yang tidak diturunkan kerana penggantungan, Ahmad Fakhri Saarani (penyerang), S Kunalan (tengah) dan Mohd Farizal Marlias (penjaga gol) turut berada di bangku simpanan, tindakan berani Azraai yang membuahkan hasil memuaskan.
Bekas pengendali Kedah dan kebangsaan itu memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan dan berharap komitmen itu dapat diteruskan pada siri perlawanan akan datang untuk memastikan Negeri Sembilan kembali bersaing.
“Saya harap kemenangan ini menjadi permulaan baik untuk kebangkitan Negeri Sembilan pada pusingan kedua liga dan berharap pemain terus memberikan fokus kepada misi mencatat kemenangan seterusnya untuk memperbaiki kedudukan carta,” katanya.
Mohd Azraai turut mengesahkan bekas penyerang Kedah dan Felda United FC, Asmawi Hassan sudah menyertai Negeri Sembilan bermula Jumaat lalu yang diharapkan mampu memantapkan jentera serangan diterajui Hairuddin dan Ahmad Fakhri.
“Saya harap kehadiran Asmawi dapat membantu misi kita mencatat kemenangan sebanyak mungkin pada pusingan kedua liga,” katanya.
No comments:
Post a Comment