USAHA Negeri Sembilan untuk bangkit tampak belum berhasil apabila seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin namun ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah puas hati dengan persembahan anak buahnya.
Menurutnya, walaupun impian meraih tiga mata tidak kesampaian, beliau mengakui jentera pasukannya terjejas selepas penyerang Hairuddin Omar diperintah keluar padang pada minit ke-20 kerana menerima kad merah selain beberapa pemain utama antaranya S Kunalan, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (gambar) kurang cergas kerana demam.
“Walaupun kami mendahului menerusi Idris Karim, kami gagal mengekalkan kelebihan itu selepas Hairuddin di perintah keluar padang.
“Bermain dengan 10 orang agak sukar namun saya puas hati kerana pemain menunjukkan kesungguhan mempertahankan maruah pasukan,” katanya.
Sejak Azraai mengendalikan skuad itu 22 Mac lalu, Negeri Sembilan mencatat tiga seri dan tiga kalah dalam enam perlawanan terakhir dan kini menghuni tangga kedua tercorot liga dengan 12 mata.
Bekas pengendali Kedah dan kebangsaan itu mengaku sukar merangka strategi mantap dan menurunkan barisan terbaik pada pusingan kedua liga bermula Sabtu ini apabila masalah kecederaan pemain membelenggu skuad Hoben Jang Hoben.
Katanya, selain Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norhafiz Zamani Misbah yang berehat panjang, Negeri Sembilan akan memulakan pusingan kedua menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini, tanpa khidmat lima pemain utama.
Azraai berkata, selain Hairuddin dan Idris yang tidak dapat beraksi kerana mengumpul tiga kad kuning, tiga lagi pemain, Kunalan, Ahmad Aminuddin dan Mohd Firdaus Azizul juga tidak dapat diturunkan.
“Saya mungkin terpaksa menggunakan khidmat beberapa pemain muda skuad Piala Presiden,” katanya yang yakin anak didiknya mampu bangkit pada pusingan kedua.
No comments:
Post a Comment