Saturday, April 23, 2011

Jamak sah terima lamaran Kedah

WAN Jamak Wan Hassan (gambar) hampir pasti menjadi pembimbing skuad Kedah yang baru menggantikan Ahmad Yusof apabila gimik penyertaan bekas jurulatih Negeri Sembilan ke dalam skuad Hijau Kuning berlangsung di Alor Setar hari ini.
Majlis dijadual berlangsung pada pukul 5 petang, kurang empat jam sebelum sepak mula antara Kedah menentang Harimau Muda A pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, pada majlis itu Wan Jamak akan diberikan sut skuad Kenari sebagai tanda menjadi sebahagian daripada anggota skuad Hijau Kuning.
"Wak Jamak juga dijadual menandatangani kontrak bersama Kedah pada majlis itu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Alor Setar semalam.
Pada perlawanan Kedah menentang Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, Wan Jamak turut berada di bangku penonton. Pada pertemuan keduadua pasukan itu sekali lagi, beliau dijadual turut berada di stadium.
Tambahnya, Wan Jamak dijadual memulakan tugas baharunya di Kedah sebagai ketua jurulatih awal minggu depan setelah proses pendaftarannya sebagai jawatankuasa dalam pasukan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selesai Isnin ini.
"KFA sudah membatalkan pendaftaran Ahmad selaku jurulatih Kedah kelmarin dan pendaftaran Wan Jamak akan dibuat Isnin ini," katanya.
Dalam pada itu, Wan Jamak yang sudah berada di bandar raya ini, enggan mengulas perkara tersebut dan menyerahkan perkara tersebut kepada pengurusan KFA.
"Biar KFA yang umum, itu lebih elok," katanya.
Pada 7 Mac lalu, Kedah merehatkan Ahmad selepas pasukan bimbingannya mengalami prestasi hambar dengan tugasannya diambil alih oleh penolong jurulatih, Radhi Mat Din.
Ahmad yang membimbing Kedah musim lalu membantu skuad Hijau Kuning muncul naib juara Piala FA dan berada di tangga kelima Liga Super.
Bagaimanapun, menerusi enam perlawanan awal musim ini, Kedah hanya menang satu perlawanan ke atas Felda United 1-0. Manakala seri tiga perlawanan tanpa jaringan menentang T-Team dan Perak, 1-1 dengan Kelantan serta tewas dua kali kepada Sabah 1-0 dan Selangor 2-0.
Radhi yang mengambil alih pasukan, menunjukkan prestasi membanggakan apabila menang enam daripada tujuh perlawanan, sekali gus meletakkan Kedah di tangga keempat dengan 24 mata.
Kedah menang ke atas Terengganu 2-1, masing-masing menang tipis satu jaringan dengan Kuala Lumpur, Perlis, Pahang dan Harimau Muda A selain menundukkan Negeri Sembilan 2-0 dan kalah kepada Johor FC 2-1.
Radhi yang enggan mendabik dada di atas prestasi semasa skuadnya memberitahu, beliau bersyukur di atas kejayaan itu kerana ia diraih menerusi konsentrasi dan komitmen tinggi pemain kepada pasukan.
"Saya sering mengingatkan pemain agar berdisiplin ketika di padang dan jangan melakukan kesilapan. Ia bukan soal siapa jurulatih tetapi pemain perlu memberi tumpuan seratus peratus kepada perlawanan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...