Friday, May 6, 2011
Kedah enggan kecewa
“KAMI akan memastikan tidak pulang dari Kota Bharu dengan tangan kosong supaya dapat kekal di tangga kelima liga,” kata penyerang utama Kedah, Badrul Bakhtiar.
Menurutnya, mereka tidak bernasib baik kerana gagal mengutip mata penuh ketika bertemu Sabah di Stadium Darulaman, Selasa lalu kerana walaupun menguasai permainan, kegagalan menepati sasaran memaksa mereka berkongsi mata dengan pelawat.
“Ketika ini persefahaman bertambah baik, hanya kegagalan percubaan kami, termasuk dari saya dan juga rakan penyerang lain iaitu Faizal (Abu Bakar) dan Mohd Syakir (Ali) menyebabkan kami gagal menang.
“Kami sedar tugas menanti di Kota Bahru dan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan sudah menyiapkan kami secara mental untuk menghadapi asakan dan juga memastikan kami berjaya membocori gawang lawan.
“Kini kami beraksi dengan kemampuan sebenar dan permainan juga sudah bertambah mantap berbanding awal musim dan ini pastinya mencerahkan harapan membawa pulang mata dari Kota Bharu,” katanya.
Katanya, permainannya juga sudah bertambah baik dan dia juga dapat beraksi secara bebas ketika ini sekali gus memberikan peluang kepadanya untuk membuka ruang kepada rakan sepasukan mencuri peluang menjaringkan gol.
“Musim lalu kami berjaya memastikan Kelantan gagal menang, hanya pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia musim lalu saja kami tewas 1-0.
“Kelantan musim ini lawan yang berbeza terutama selepas mereka menjuarai Piala Malaysia musim lalu dan mereka beraksi lebih baik ketika bermain di gelanggang sendiri.
“Tidak kira siapa yang menjaringkan gol, matlamat utama ialah memastikan kami tidak berputih mata,” katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment