MISI membalas dendam jelas terpancar pada wajah Datuk M Karathu dan anak didiknya apabila Kelantan turun menentang T-Team dalam perlawanan penting Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.
Hakikat itu terbit daripada mulut pemain sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya yang melaungkan tekad betapa dia dan rakan sepasukan The Red Warriors mahu menebus detik kecewa tewas kepada kelab dari Terengganu itu, 3-4 dalam perlawanan pusingan pertama pada 5 April lalu.
“Saya dan rakan sudah bersedia sepenuhnya menanti kunjungan T-Team yang dianggap pasukan yang kuat dan menunjukkan kebangkitan selepas pasukan itu menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Khamis lalu.“Kita tidak boleh pandang mudah keupayaan T-Team walaupun beraksi di laman sendiri kerana kesilapan akan membawa padah kepada pasukan dalam mengukuhkan kedudukan takhta Liga Super,” katanya di Kota Bharu, semalam.
Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap perlawanan berdepan T-Team akan menjadi penentu kebangkitan Red Warriors selepas terikat 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
“Saya akui cabaran pasti sengit diberi T-Team tetapi saya sudah bersedia menggalas tugas sebagai penjaga gol dan harap tumpuan sepenuhnya rakan sepasukan membenam T-Team nanti,” kata pemain kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu itu.
No comments:
Post a Comment