Friday, May 27, 2011

Karathu kecewa rekod kebal lebur

KOTA BHARU – Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu sukar menerima kegagalan Kelantan mempertahankan rekod tanpa kalah di padang sendiri apabila kalah 1-2 kepada T-Team dalam Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin.

Menurutnya, keputusan itu tidak sepatutnya berlaku kerana skuadnya meraih banyak peluang gol namun gagal dimanfaatkan barisan penyerang.

“Walaupun kita menguasai perlawanan, ia bukanlah malam kita kerana gagal menyudahkan deretan peluang gol terutama pada babak pertama.

“Separuh masa kedua pula, kita terus mengasak dan memiliki banyak peluang, namun sekali lagi gagal untuk menembusi bentang pertahanan lawan.

“T-Team kerap bermain secara bertahan dan ia menyukarkan kita untuk menjaringkan gol,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tambah Karathu, beliau terpaksa mengeluarkan pemain pertahanan kiri, Zairul Fitree Ishak dan memasukkan Mohd. Izuan Solahuddin untuk menambah sengat di bahagian serangan.

“Hasilnya kita berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Nurul Azuan Roya dan gol tersebut ternyata membangkitkan semangat dan moral pemain.

“Namun, akibat terlampau ghairah untuk menang, kesilapan yang dilakukan Mohd. Rizal Fahmi (Ab. Rosid) pada minit akhir masa kecederaan, kami dihukum dengan jaringan mudah Indra Putra (Mahayuddin),” ujarnya

Walaupun terpaksa melepaskan teraju liga kepada Terengganu akibat kekalahan tersebut, Karathu berkata, Red Warriors yakin untuk memburu kejuaraan musim ini.

“Kita masih ada baki empat perlawanan. Saya belum mengangkat bendera putih dan kita akan bermain mati-matian selepas ini.

“Tidak profesional bagi saya untuk mengharapkan pasukan lain seperti Terengganu atau Selangor kalah dalam baki empat perlawanan itu. Cuma kita perlu lebih fokus dengan menunjukkan aksi terbaik selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...