Wednesday, May 18, 2011

Karathu puas singkir Selangor

KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu puas sejurus pasukannya menafikan hasrat gergasi bola sepak tanah air, Selangor ke perlawanan akhir Piala FA musim ini, meskipun sekadar seri 1-1 pada separuh akhir kedua kelmarin.

Keputusan seri tidak menggugat hasrat Kelantan untuk mara ke final buat kali kedua dengan agregat 6-2 selepas melakukannya pada tahun 2009.

Karathu berkata, kejayaan itu merupakan hadiah bermakna buatnya selepas pemain mempamer semangat juang yang tinggi sepanjang mengharungi saingan Piala FA musim ini.

"Saya puji semangat pemain, mereka bermain mati-matian dalam setiap perlawanan. Bermula dengan T-Team pada perlawanan pusingan pertama yang saya sifatkan cukup getir apabila perlawanan diheret ke penentuan penalti, diikuti Johor FC pada pusingan kedua.

"Kedua-dua perlawanan ini kita bermain di tempat lawan, namun kita berjaya memenangi perlawanannya hasil komitmen dan disiplin tinggi pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas persembahan pemain pada aksi di Stadium Sultan Muhammed V, kelmarin, Karathu berkata, meskipun tanpa kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang direhatkan serta dua tonggak pertahanan, Mohd. Farisham Ismail serta Mohd. Zairul Fitree Ishak yang digantung, pemain lain tetap tampil dengan persembahan mantap.

"Pemain yang diturunkan semalam menunjukkan satu tahap keghairahan yang tinggi iaitu mahu membawa pulang Piala FA ke Kelantan.

"Mereka menggunakan segala peluang yang ada sehingga berjaya memperolehi gol awal menerusi Shakir pada minit ke-9.

"Gol tersebut membolehkan kami menguasai perlawanan.

"Kemenangan ini hadiah buat para penyokong, inilah masa terbaik buat kami untuk menghadiahkan satu lagi kejuaraan buat mereka musim ini," ujarnya.

Kejayaan ke pentas akhir Piala FA memberikan M. Karathu peluang mencipta satu lagi sejarah buat Kelantan, iaitu membawa pulang kejuaraan buat kali pertama selepas gagal disempurnakan Peter James Butler selepas tumbang kepada Selangor pada final 2009.

Pemain Kelantan, Ramzul Zahini Adenan (kanan) melepasi asakan pertahanan Selangor pada Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, kelmarin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...