Thursday, May 26, 2011

Perlawanan luar Lembah Klang

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia membawa perlawanan bertaraf antarabangsa ke setiap negeri bagi memberi peluang peminat bola sepak tanah air mengikutinya. 

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata sebelum ini perlawanan antarabangsa tertumpu di Lembah Klang menyebabkan peminat di negeri lain terlepas peluang menyaksikannya. 

Menurutnya, langkah itu juga memberi petanda kepada stadium-stadium negeri untuk mempertingkatkan prasarana masing-masing. 

“Pada 18 Jun nanti, perlawanan persahabatan antara pasukan kelayakan Piala Dunia Malaysia dan pasukan kebangsaan Myanmar diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. 

“Pada saya, ini juga bentuk penghormatan kepada peminat di Kelantan yang begitu aktif mengikuti perkembangan bola sepak di negara ini,” katanya. 

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, keputusan mengadakan perlawanan di Kelantan memberi gambaran FAM bersedia membawa perlawanan bertaraf antarabangsa ke stadium-stadium negeri. 

Katanya, perbadanan stadium perlu berusaha menaiktaraf kemudahan seperti meningkatkan aspek keselamatan, kualiti padang, kemudahan untuk media, pencahayaan, bilik persalinan dan sebagainya. 

“Seperti mana yang kita maklum, stadium di Kelantan agak daif, kita berharap kemudahan dipertingkatkan secara berperingkat mulai sekarang,” katanya. 

FAM katanya, bermesyuarat semalam bagi memastikan kelancaran perlawanan antara Malaysia dan Myanmar termasuk persediaan untuk kehadiran pemain dari kedua-dua pasukan untuk berlatih di Kota Bharu empat atau tiga hari sebelum perlawanan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...