KEMAMAN - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek memberitahu perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan - Terengganu mungkin diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sehubungan itu Ahmad Shabery meminta perbadanan stadium supaya menangguhkan kerja-kerja baik pulih di stadium itu buat sementara waktu.
Menurutnya, sekiranya perbadanan stadium bersetuju, stadium tersebut juga akan digunakan untuk kejohanan Kelayakan Piala Dunia Julai ini.
"Kita minta pihak stadium dapat menggunakan veneu untuk Piala FA pada 11 Jun nanti kerana sepanjang bulan Jun dan Julai ini banyak acara akan dijalankan.
"Saya harap pihak stadium dapat menyambung kerja baik pulih selepas itu," katanya selepas merasmikan Pasar Tani Cukai, semalam.
Ahmad Shabery turut berharap tiada acara terutamanya melibatkan penggunaan trek diadakan di stadium berkenaan sehingga kerja baik pulih selesai.
Ahmad Shabery berkata, penyokong Terengganu dan Kelantan diharap dapat menjaga tingkah laku dan tidak membuat sebarang tindakan yang tidak sepatutnya pada final nanti.
Katanya, kedua-dua pasukan berkongsi banyak persamaan termasuk dari segi budaya dan makanan seperti budu, keropok lekor dan nasi dagang.
"Jadi saya rasa tidak akan timbul masalah nanti tetapi kita akan pastikan kawalan keselamatan dipertingkatkan," katanya.
Tambah beliau, satu pertandingan golf persahabatan anjuran Kelab Golf Kelantan dan Kelab Golf Kemaman akan diadakan pada sebelah pagi sebelum perlawanan akhir itu, bagi mengeratkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak.
No comments:
Post a Comment