Thursday, May 26, 2011

KAFA tawar pakej penerbangan istimewa

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan pakej penerbangan istimewa bersama pemain skuad Red Warriors kepada peminat yang mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Kuala Lumpur 11 Jun ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakej berharga RM1,000 itu termasuk penginapan hotel dua malam, tiket penerbangan Air Asia dan pengangkutan pergi balik dari hotel ke stadium serta ke lapangan terbang.

"Kita akan berlepas pada pukul 9 pagi 10 Jun ini dan akan pulang pada pukul 1.40 petang pada 12 Jun," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Majlis KAFA di sini, kelmarin.

Annuar berkata, tawaran pakej tersebut merupakan sebahagian daripada usaha KAFA untuk membantu peminat Red Warriors menyaksikan perlawanan tersebut dan memberikan sokongan kepada pemain Kelantan.

Selain itu katanya, KAFA menyediakan sistem jualan tiket secara talian, pembelian secara berkumpulan, kelab penyokong, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) serta di kaunter di Stadium Sultan Muhammed IV, dekat sini.

Menurutnya, bagi jualan secara dalam talian, KAFA memperuntukan 5,000 keping tiket kepada peminat, khususnya yang menetap di luar Kelantan.
Mereka yang ingin membuat tempahan boleh melayari lawan web www.thredwarriorsclub.com.

Annuar memberitahu, untuk perlawanan akhir kali ini, tiada lagi jualan tiket secara berpakej iaitu merangkumi harga tiket dan bendera negeri, seperti yang dilakukan pada musim lalu.

"Kita akan jual tiket mengikut harga yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan harga RM30.

"Kita berharap tiada pihak yang akan mengambil kesempatan di atas permintaan tiket yang tinggi kerana ia akan menyusahkan penyokong Kelantan," katanya.

Tiket perlawanan akhir Piala FA akan mula dijual pada 3 Jun ini bermula pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari, dan 3 hingga 6 petang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...