KEJAYAAN menewaskan pasukan gergasi Selangor, 2-1 dalam aksi Liga Super kelmarin terpaksa dibayar dengan harga mahal buat skuad Harimau Muda A apabila mereka bakal kehilangan penyerang, Syahrul Azwari Ibrahim untuk tempoh lebih dua minggu akibat kecederaan lutut kanan.
Berita itu mengecewakan jurulatih, Ong Kim Swee memandangkan khidmat pemain berusia 18 tahun itu bukan saja penting untuk mengharungi baki saingan liga malah aksinya turut ditagih bersama skuad Olimpik negara yang bakal membuat persiapan kelayakan Sukan Olimpik 2012 bermula Ahad ini.
“Syahrul perlu berehat dua minggu dan kemudian memerlukan masa untuk cergas sepenuhnya. Kemenangan ke atas Selangor adalah keputusan yang baik tapi kami terpaksa membayar dengan harga yang cukup mahal gara-gara kecederaan pemain itu, memang satu kerugian bagi kami. Tapi soal kecederaan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Saya akan buat keputusan sama ada akan mengekalkannya dalam skuad Olimpik ataupun tidak, minggu depan,” katanya.
Ketiadaan Syahrul sememangnya cukup dirasai berdasarkan persembahan cemerlang pemain itu yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62 untuk membuatkan gergasi Merah menggigit jari di gelanggang sendiri.
Sebelum itu, penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan di minit ke-42 sebelum kapten Selangor, Safiq Rahim merapatkan jurang pada minit ke-65.
Harimau Muda A kini menduduki tangga keenam liga dengan mengumpul 33 mata akan mengharungi perlawanan terakhir liga menentang Sabah, Sabtu ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum 21 pemain skuad itu menyertai latihan pusat skuad Olimpik negara.
Selepas mengharungi jadual liga yang padat, Kim Swee mengambil pendekatan memberi ruang kepada anak buahnya bersantai dalam program motivasi di Port Dickson selama tiga hari bermula Ahad ini.
No comments:
Post a Comment