Saturday, May 28, 2011

Cedera punca NS merosot

SEREMBAN – Kemerosotan prestasi Negeri Sembilan dalam Liga Super tidak ada kaitan dengan unsur mengatur perlawanan sebaliknya faktor kecederaan yang dialami barisan pemain utamanya, kata ketua jurulatih Mohd. Azrai Khor Abdullah.

Sejak menjadi jurulatih dua bulan lepas, beliau mengakui tidak mendapat prestasi terbaik dari kesebelasan utama pasukan disebabkan masalah kecederaan dan hukuman kad kuning.

Katanya, keadaan itu memaksa beliau membawa masuk empat pemain skuad Piala Presiden iaitu Mohd. Khairul Ridzwan Othman, Fiqri Azwan Ghazali, Nor Hairi dan Abd Rahman Abd Ghani untuk membantu skuad Liga Super.

“Saya berharap sangat supaya empat pemain skuad Piala Presiden ini tidak dicemari dengan unsur rasuah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini semalam.

Azrai berkata, sekiranya empat pemain itu digantung untuk siasatan atau terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden, maka keadaan pasukan Liga Super negeri akan bertambah parah.

Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis selepas percaya wujud unsur mengatur perlawanan dalam skuad Piala Presiden negeri sejak tahun lepas.

Azrai menegaskan, prestasi merudum anak buahnya dalam saingan Liga Super disebabkan kecederaan pemain utamanya seperti Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharudin, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak dan beberapa pemain lain.

Beliau turut memuji tindakan berani PBNS dalam membuat laporan polis kerana mempercayai wujud unsur mengatur perlawanan oleh pemain dan individu di peringkat pengurusan pasukan Piala Presiden itu. – Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...