KUALA LUMPUR - 'Kurangkan kesilapan ketika situasi bola mati, kekalkan konsentrasi sepanjang 90 minit perlawanan jika tidak mahu tewas akibat kesalahan sendiri'.
Itu pesanan bos skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee kepada para pemainnya menjelang perlawanan Liga Super menentang Terengganu hari ini.
Pesanan yang lebih bersifat teguran itu ekoran pemain yang sering menghadiahkan gol kepada pasukan lawan menerusi situasi sedemikian.
"Pada setiap perlawanan, pemain berjaya menunjukkan kualiti permainan yang baik, tetapi kerana kesilapan terutama ketika menghadapi ancaman sepakan bola mati, kami sering tewas.
"Kebanyakan kesilapan itu berjaya dikurangkan namun ia masih menjadi kelemahan ketara dalam skuad saya ketika ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Namun rentak positif yang ditunjukkan pasukannya dengan memenangi dua perlawanan terakhir, membuatkan Kim Swee tersenyum, apabila melayani Terengganu di Stadium Shah Alam, hari ini.
Turun dengan tekad untuk menebus kekalahan 1-3 yang dialami di Kuala Terengganu, Kim Swee menyifatkan keyakinan para pemainnya berada pada tahap tertinggi bagi mencari tiga mata penuh, biarpun sedar reputasi pasukan pantai Timur itu.
"Pemain saya bagaikan mendapat nafas baru selepas menang dua perlawanan terakhir di tempat lawan dan saya harap keyakinan itu dibawa ketika berdepan Terengganu.
"Perlawanan esok akan menjadi medan ujian karakter pemain sejauh mana mereka mengekalkan prestasi sedia ada, apabila menentang lawan yang lebih handal," katanya.
Prestasi Harimau Muda A sejak kebelakangan ini memberikan petanda positif menjelang pusingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun ini.
No comments:
Post a Comment