Friday, May 27, 2011

Perlis salah strategi

SILAP percaturan atau strategi permainan khususnya di babak kedua menjadi punca kekalahan tipis Perlis 1-2 kepada Perak pada saingan Liga Super di Stadium Utama Negeri Kangar, kelmarin.


Ini kerana di babak pertama skuad Singa Utara itu yang menggunakan sistem lima pemain benteng, tiga di tengah dan dua di barisan depan ternyata begitu berkesan dalam mengekang asakan lawan.

Strategi yang diterapkan itu jelas bukan saja menyukarkan skuad pelawat kendalian Norizan Bakar untuk melancarkan gerakan bahaya malah menyaksikan posisi tengah yang dianggap nadi pasukan dikuasai dengan begitu baik tuan rumah.




Bagaimanapun, perubahan dilakukan pada pertengahan babak kedua dengan mengurangkan seorang pemain daripada tiga kepada dua di bahagian posisi tengah bagi memantapkan jentera serangan didapati membawa kesan sebaliknya.

Ini terbukti apabila posisi tengah itu yang sebelum itu dikuasai tuan rumah beralih menjadi milik pasukan pelawat sekali gus membantu jentera serangannya diketuai Akmal Rizal Ahmad Rakhli melancarkan lebih banyak ancaman.


Demikian antara rumusan penolong ketua jurulatih Perlis, Azamri Zali terhadap kegagalan Perlis itu, biarpun lebih dahulu mencipta jaringan.





Tuan rumah mendahului Perak menerusi Tengku Mohd Adam Tengku Rosly m-48 sebelum lawan bangkit meledak dua jaringan menerusi Mohd Shazwan Ashraf (m-64) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-84).

Berikutan kekalahan itu, Perlis kekal menghuni tangga tercorot carta dan semakin hampir terkeluar daripada saingan elit itu musim depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...