Tuesday, May 31, 2011

Harimau Malaya tetap tampil aksi memukau

BARISAN 24 pemain kebangsaan disenaraikan K Rajagobal bagi menghadapi Hong Kong dalam perlawanan persahabatan Jumaat ini bakal menampilkan keseimbangan antara pengalaman dan kudrat muda yang dijangka mampu meneruskan rentak cemerlang Harimau Malaya tahun ini. 

Kehadiran 10 nama baru termasuk penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki, Safee Sali yang kini menyarung jersi kelab Indonesia Pelita Jaya, dilihat berupaya mengulangi kemenangan ke atas Hong Kong sebelum ini apabila skuad negara berkunjung ke negara itu.

Tanpa mahu mengganggu persiapan skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee, Rajagobal terpaksa mengetepikan lapan pemain muda yang menjadi tonggak kedua-dua skuad berkenaan tetapi bukan bermakna barisan pilihannya kali ini kurang berbisa.


Dengan rata-rata pemain disenaraikan kerana aksi cemerlang sepanjang Liga Super, percaturannya dijangka tertumpu kepada penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang mungkin digandingkan dengan penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha. 

Kepulangan Baddrol Bakhtiar juga memberi lebih pilihan buat Rajagobal mencorak jentera serangannya tetapi matlamat utama bukan memburu kemenangan, sebaliknya menilai kemampuan pemain baru di peringkat antarabangsa. 

Hadi yang kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super, bertekad menampilkan kemampuan terbaiknya bagi memikat Rajagobal, sekali gus menjadi muka tetap dalam skuad kebangsaan. 

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih,” katanya selepas sesi latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam. 

Daripada 24 pemain yang dipanggil ke kem latihan bermula kelmarin antaranya Nasril Nourdin, Syed Adney Syed Hussein, Nasriq Baharom, Mohamad Azmi Muslim, Baddrol, S Chanturu, Helmi Remeli, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Farisham Ismail, hanya 22 akan dibawa ke Hong Kong. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...