Sunday, May 29, 2011

Kelantan rampas kedudukan tapi belum selamat

KUALA LUMPUR - Kelantan berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super 2011 apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang manakala Terengganu gagal meneruskan rentak cemerlang turun ke tangga kedua apabila tewas 0-1 di tempat sendiri, semalam.

Bagaimanapun saingan sengit terus berlaku di antara tiga pasukan Kelantan, Terengganu dan Selangor tatkala saingan liga berbaki tiga perlawanan.

Di Stadium Sultan Muhammed IV, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal pada minit kelapan seterusnya membantu pasukannya menerajui liga atas kelebihan jaringan gol walaupun berkongsi 47 mata bersama Terengganu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kedah yang memperolehi jaringan melalui rembatan dari luar petak penalti oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.

Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mendapat semula rentak kemenangan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari pada minit ke-48 dan Rudie Ramli pada minit akhir perlawanan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Kuala Lumpur 2-1 dengan Azizan Baba berjaya menyumbat dua gol pada minit kelapan dan 35 manakala gol sagu hati tuan rumah disumbangkan oleh Khairul Anuar Shafie enam minit sebelum perlawanan tamat.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan bimbingan Norizan Bakar berjaya meraih tiga mata apabila mengalahkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Mohd. Roslan minit 45 dan Mohd. Shazuan Mohd. Ashraf Mathews minit 87.
Perlawanan lain menyaksikan Perlis tewas 0-1 kepada Felda United, manakala Harimau Muda berjaya menumbangkan Sabah 2-0.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...