Monday, May 30, 2011

Irfan enggan angkat 'bendera putih'

KUALA TERENGGANU - Terengganu tidak lagi boleh menganggap gelanggang sendiri kebal setelah kemenangan demi kemenangan yang dicatat sebelum ini tercalar selepas tumpas 0-1 kepada Kedah dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Namun, di sebalik kesedihan itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti masih boleh tersenyum dan enggan mengangkat bendera putih terlalu awal.

Menurut Irfan, dia enggan mengalah kerana pasukannya masih berpeluang menjuarai liga memandangkan ada tiga lagi baki perlawanan musim ini.

"Saya akui pemain-pemain saya tidak bermain secara agresif dan terlalu memberi peluang kepada Kedah pada perlawanan tadi (kelmarin).

"Bagaimanapun, saya percaya pemain saya mampu bangkit selepas ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah gagal meneruskan rentak cemerlang apabila jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42 cukup untuk meleraikan genggaman pendahulu buat Penyu.

Biarpun cuba bangkit pada babak kedua dengan asakan yang bertali-arus ke kubu pelawat, namun kekentalan benteng Kedah yang diterajui kapten, Mohd. Fauzee Nan berjaya menafikan hasrat tuan rumah untuk sekurang-kurangnya memburu gol penyamaan.

Kekalahan itu juga menyaksikan takhta liga kembali menjadi milik Kelantan yang menundukkan Pahang 1-0 di Kota Bharu dalam satu lagi perlawanan.

Dalam pada itu, Irfan berkata, tidak timbul istilah terlalu yakin sebagai punca kekalahan kepada Kedah dalam perlawanan itu.

"Pemain saya cuma tidak agresif, itu saja. Bagaimanapun, Insya-Allah kita akan berusaha dapatkan mata penuh dalam baki tiga perlawanan lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...