SELANGOR PKNS mungkin boleh berbangga dengan kejayaan meraih kejuaraan Liga Perdana 2011 ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan namun kecemerlangan itu belum menjamin tiket skuad berstatus kelab itu untuk beraksi di Liga Super pada musim depan.
Ini kerana terdapat cadangan daripada pihak Malaysian Super League (MSL) susulan mesyuaratnya yang berlangsung pada penghujung bulan lalu supaya jumlah 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim ini dikurangkan kepada 12 pasukan bermula tahun depan.
Namun jumlah pasukan yang diturunkan ke liga bawahan dan percaturan untuk membolehkan pasukan dari Liga Perdana beraksi di Liga Super masih belum diputuskan secara terperinci kerana cadangan itu juga masih belum mendapat kelulusan exco badan induk bola sepak negara itu.
Walau bagaimanapun situasi itu tetap menimbulkan pelbagai kemungkinan kepada nasib Selangor PKNS selepas bertarung hebat musim ini seperti perlu mengharungi perlawanan kelayakan, terpaksa berputih mata berikutan peraturan baru ataupun mendapat tiket automatik seperti kebiasaannya.
Malah jika sejarah diambil kira, FAM sudah beberapa kali mengubah jumlah pasukan bersaing dalam Liga Super diubah sejak diperkenalkan pada 2004 yang bermula dengan lapan pasukan namun kemudiannya diubah kepada 13 pasukan pada musim 2007/2008. Namun bermula 2009, 14 pasukan pula dibenarkan bersaing.
“Secara lazimnya memang dua tempat teratas Liga Perdana akan dinaikkan ke saingan Liga Super namun keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada persetujuan yang dicapai mesyuarat exco,” kata Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Ahmad Fuad Daud (gambar).
Malah ketika ditanya mengenai sebarang ketetapan yang mungkin sudah diputuskan FAM mengenai perkara itu sebelum aksi Liga Malaysia 2011 bermula, Ahmad Fuad menafikannya.
Selangor PKNS yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan kejuaraan Liga Perdana pada Jumaat lalu sekali gus meraih hadiah kemenangan berjumlah RM200,000.
Berbaki tiga perlawanan menentang Pulau Pinang (hari ini), Sarawak (17 Jun) dan Harimau Muda B (1 Julai), Selangor PKNS kini mengumpul 51 mata selepas mengharungi 19 perlawanan tanpa tewas manakala Sarawak pula memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kedudukan di tempat kedua.
No comments:
Post a Comment