Saturday, May 21, 2011

Devan belum menyerah kalah

Selangor yakin pertahan juara liga

KEKALAHAN 2-1 kepada T-Team yang meletakkan Selangor satu mata di belakang pendahulu, Kelantan dalam carta Liga Super, sedikitpun tidak merencat perancangan K Devan untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

“Bercakap mengenai peluang musim ini, saya sudah nampak piala Liga Super di depan saya,” kata Devan mengenai peluang Gergasi Merah mempertahankan kejuaraan musim ini. “Kami hanya ketinggalan satu mata dan masih ada enam perlawanan berbaki.

“Saya rasa belum masanya untuk panik kerana kelebihan berpihak Selangor yang mempunyai empat perlawanan di gelanggang sendiri selepas ini. Sebaliknya Kelantan dan Terengganu, masih perlu bertemu sesama sendiri.”


Devan bagaimanapun mengakui kecewa gagal membawa pulang mata dari Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan penyandang juara itu tergelincir ke tangga kedua, diapit Kelantan dan Terengganu dengan beza satu mata.

“Keputusan ini tidak menggambarkan prestasi sebenar Selangor,” kata Devan. “Ketiadaan enam tonggak utama yang cedera menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan ini. Pemain juga tidak cukup rehat kerana baru saja menamatkan saingan Piala FA di Kelantan sebelum ini.

“Jadi tewas tipis kepada T-Team yang mempunyai rehat mencukupi serta mungkin sudah biasa bermain pada sebelah petang, membuktikan kesungguhan pemain. Saya puji usaha mereka walaupun pulang hampa.”

Pada perlawanan berkenaan, T-Team membuka jaringan menerusi Zairo Anuar Zailani pada minit ke-38 sebelum Safiq Rahim menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76 tetapi kelalaian membolehkan Indra Putra Mahayuddin menanduk gol kemenangan pada minit ke-82. 




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...