KUANTAN - Dollah Salleh yakin pasukannya Pahang mampu bangkit mengalahkan Terengganu di padang lawan, setelah kalah 2-3 pada separuh akhir pertama Piala FA di padang sendiri Jumaat lalu.
Dollah berkata, dia memegang prinsip bahawa kejayaan akan tercapai jika setiap pemain berfikiran positif sepanjang beraksi.
"Saya tidak mahu melihat kepada kelemahan Pahang yang mana kebanyakan pemain kami kini mengalami masalah kecederaan.
"Apa yang saya tekankan pada anak buah saya ketika latihan ialah sentiasa berfikiran positif dan memberi sepenuh tumpuan di atas padang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pahang akan bertemu skuad Penyu pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini.
Menurut Dollah, pemain Pahang tidak seharusnya risau atau hilang keyakinan apabila sekali lagi bertemu Terengganu, kerana tahap permainan kedua-dua pasukan hampir sama.
"Tahap pasukan bola sepak dalam saingan Liga Super lebih kurang sama.
"Jadi tiada sebab untuk pemain tidak yakin untuk menang.
"Kalau kita rasa susah dan berfikiran negatif untuk mengatasi Terengganu, kita akan menerima padah," jelasnya.
Katanya, jika Pahang berjaya meledak dua gol tanpa balas hari ini, ia akan memberi kelebihan untuk melangkah ke akhir.
Mengulas lanjut mengenai kekalahan 2-3 kepada Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Jumaat lalu, beliau mengakui persembahan Pahang agak terencat apabila R. Surendran terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas mereka mendahului 2-0.
"Terengganu mengambil peluang untuk bangkit apabila melihat persembahan pemain Pahang menurun selepas R. Surendran dikeluarkan.
"Pada perlawanan separuh akhir kedua ini, saya amat berharap kejadian yang sama tidak akan berulang," katanya.
No comments:
Post a Comment